HeySara Dinobat Penerima Enterprise 50 Award 2026
Kuala Lumpur pada 25 November, HeySara, penyedia perkhidmatan perusahaan berasaskan teknologi yang berpangkalan di Singapura, telah dinamakan sebagai pemenang Anugerah Enterprise 50 (E50) 2026 bagi pengiktirafan prestasi perniagaan, inovasi dan sumbangan kepada landskap perusahaan negara itu. Anugerah berkenaan dianjur bersama The Business Times dan KPMG di Singapura, dengan sokongan Enterprise Singapore, Singapore Business Federation serta SGX Group dan mengiktiraf 50 perniagaan persendirian terkemuka Singapura bagi kecemerlangan perniagaan, inovasi dan pertumbuhan lestari.
Pengasas HeySara, Ng Su Kai, berkata anugerah itu merupakan satu pencapaian penting buat syarikat dan pengiktirafan terhadap dedikasi pasukan serta keyakinan berterusan daripada pelanggan dan rakan perniagaan. “Sejak mula, visi kami adalah memudahkan pematuhan korporat dan peluasan perniagaan merentasi sempadan melalui teknologi serta perkhidmatan yang disesuaikan. Semasa melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya, kami komited memperkukuh kemampuan serantau, memperluas tawaran perkhidmatan, serta menyokong perniagaan daripada semua saiz yang berkembang merentasi pelbagai bidang kuasa,” katanya.
Pengiktirafan ini menurut kenyataan syarikat mencerminkan usaha HeySara untuk memodenkan perkhidmatan korporat dan fidusia tradisional menerusi inovasi digital, kecemerlangan operasi dan kepakaran rentas sempadan. HeySara berkata ia akan terus memberi tumpuan kepada pengembangan serantau, meningkatkan kebolehdapatan digital serta menyediakan perkhidmatan profesional berharga tinggi bagi memperkukuh kedudukannya dalam sektor perkhidmatan korporat serantau.
Diasaskan pada 2019, HeySara menggabungkan penyelesaian berasaskan teknologi dengan kepakaran profesional untuk menyediakan perkhidmatan pematuhan korporat dan pentadbiran perniagaan bagi usahawan serta syarikat berkembang yang memperluas operasi di Asia dan seterusnya. Bernama menyediakan laporan terkini yang tepat dan komprehensif melalui pelbagai saluran.