Bukan saya seorang: ramai anak susah Pak Samad jamin sambung belajar, kata Zurinah Hassan

Kuala Lumpur dikenang bukan hanya melalui ketokohan Sasterawan Negara Datuk Seri Dr A Samad Said dalam dunia kesusasteraan, malah keprihatinannya terhadap peluang pelajar kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian turut dikenang. Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan berkongsi bahawa beliau antara individu yang terhutang budi kerana Allahyarham pernah menjadi penjamin pinjaman pelajarannya semasa menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) suatu ketika dahulu. "Masa saya hendak sambung pengajian ke universiti, saya perlukan seorang penjamin untuk menjamin pinjaman pelajaran Majlis Amanah Rakyat (MARA) saya. Allahyarham tidak teragak-agak untuk bantu saya ketika itu. "Kalau dia tiada, susah saya hendak teruskan pengajian. Dia sangat membantu, bukan sahaja dalam penulisan, tetapi juga dalam pelajaran," katanya ketika dihubungi dalam satu temu bual khas "Belasungkawa Datuk Seri A Samad Said" bersama Bernama Radio di Wisma Bernama malam ini.
Zurinah berkata kemurahan hati Allahyarham tidak hanya terhadapnya seorang, sebaliknya ramai lagi anak muda dan golongan susah yang menerima bantuan yang sama tanpa mengira latar belakang. "Bukan saya sahaja yang dia jamin, ramai lagi. Dia memang begitu, seorang yang pemurah. Kalau orang susah datang bercakap dengannya, dia terus bantu tidak kira perempuan atau lelaki, dia terus bagi duit. Kalau ada yang datang ke Kuala Lumpur, dia akan tumpangkan rumahnya, apa-apa yang dia boleh tolong, dia akan tolong," katanya.
Mengenai perjuangan Allahyarham dalam bidang bahasa dan sastera, Zurinah berkata Pak Samad sentiasa mengingatkan generasi penulis supaya ikhlas dalam berkarya serta mempunyai kecintaan yang mendalam terhadap bahasa, sastera dan nilai kemanusiaan. Beliau berkata keikhlasan itulah yang menjadi kekuatan kepada Allahyarham untuk terus memperjuangkan nasib rakyat dan golongan yang terpinggir menerusi karya-karyanya. Zurinah turut menyeru generasi muda agar mencontohi kegigihan Allahyarham yang menghasilkan karya besar dalam keadaan serba kekurangan berbanding kemudahan teknologi yang dinikmati penulis pada hari ini. "Ambillah pengajaran daripada perjuangan orang dahulu. Sekarang kita mempunyai banyak kemudahan seperti komputer riba, telefon pintar untuk berkarya, jadi gunakanlah kesempatan itu untuk hasilkan karya yang lebih baik," katanya.
Zurinah berkata pemergian A Samad Said merupakan kehilangan besar kepada negara, namun legasi perjuangannya dalam memartabatkan bahasa, budaya dan sastera Melayu akan diteruskan oleh generasi akan datang.