Brazil kecam cadangan tarif baharu AS terhadap pesawat dan gula
Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva menyuarakan bantahan terhadap cadangan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk mengenakan tarif baharu ke atas pesawat dan gula Brazil. Pejabat Lula berkata pada Rabu bahawa Brazil tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan timbal balik.
Cadangan itu merangkumi tarif 10 peratus terhadap pesawat siap keluaran Embraer, pengeluar pesawat Brazil. Pejabat Presiden Brazil menyifatkan keputusan unilateral Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) sebagai tidak boleh diterima dalam rundingan dua hala yang sedang berlangsung, serta menegaskan Brazil tidak akan tunduk kepada ancaman sedemikian.
Washington turut merancang menaikkan duti terhadap import gula Brazil yang melebihi kuota. USTR berkata langkah itu bertujuan menangani amalan perdagangan yang dianggap tidak munasabah dan memastikan gula Brazil tidak dihantar ke AS melalui negara ketiga.
Cadangan berkenaan sebahagian daripada langkah tarif lebih luas yang menyasarkan 14 rakan dagang utama, termasuk China dan Kesatuan Eropah. Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer berkata pejabatnya mencadangkan perubahan terhadap tarif yang dikenakan pada Julai selepas Brazil tidak menunjukkan kemajuan bermakna dalam isu berkenaan. Beliau berkata Washington masih terbuka untuk mengadakan rundingan.
Brasilia berkata kedua-dua negara telah berunding dengan niat baik selama lebih setahun. Kedua-dua pihak juga bersetuju pada Ogos untuk menubuhkan kumpulan kerja bagi membincangkan isu perdagangan.
Pejabat Presiden Brazil menyatakan negara itu akan terus berusaha mencapai penyelesaian melalui rundingan, namun tidak menyatakan sama ada Brazil akan menggunakan haknya untuk mencabar cadangan tarif itu di Pertubuhan Perdagangan Dunia.
Tarif berkenaan boleh berkuat kuasa seawal Januari. Jika dilaksanakan, langkah itu boleh meningkatkan kos yang perlu dibayar syarikat penerbangan AS untuk mendapatkan pesawat Embraer, ketika mereka berdepan kenaikan harga bahan api jet susulan perang AS terhadap Iran.