Bellingham jadi pemangkin pesta gol Real Madrid ke atas PSV dalam Liga Juara-Juara

Jude Bellingham mencuri tumpuan dengan jaringan sensasi bagi membantu Real Madrid membelasah PSV Eindhoven 5-1 dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi, untuk teruskan rekod kemenangan sempurna mereka. Kylian Mbappe meledak dua gol, manakala Federico Valverde dan Vinicius Junior turut mencatat nama sebagai penjaring dalam kemenangan yang menyaksikan Real bangkit dengan aksi dominan pada babak kedua selepas ketinggalan akibat sepakan penalti Ivan Perisic.
PSV tampil bersemangat pada babak pertama, menghasilkan satu gol melalui sepakan penalti selepas Aurelien Tchouameni didapati memijak kaki Sven Mijnans, memberikan kelebihan kepada PSV. Selepas rehat, Mourinho membuat tiga pertukaran termasuk membawa masuk Bellingham, keputusan itu segera memberi impak besar kepada Real.
Lima minit selepas babak kedua bermula, Valverde menyamakan kedudukan selepas menerima bola hasil gerakan kombinasi kemas yang dimulakan Vinicius, Yan Diomande dan Arda Guler. Real terus mengasak sebelum Bellingham menghasilkan jaringan menakjubkan apabila mengutip bola di luar kotak penalti, melambungkan bola sebelum melepaskan voli deras yang menerjah penjuru gawang, mengatasi jangkauan penjaga gol PSV, Matej Kovar.
Vinicius kemudian memainkan peranan penting untuk membantu Mbappe meledak gol ketiga Real menerusi penyudah klinikal hasil umpanan Guler, diikuti gol keempat apabila penyerang Perancis itu memperdaya penjaga gol untuk menyempurnakan peluang. Vinicius akhirnya melengkapkan pesta gol Real menerusi jaringan pertamanya bersama kelab itu sejak Ogos, apabila menyudahkan hantaran lambung Bellingham ke belakang pertahanan PSV, sekali gus mengundang sorakan Mourinho yang berharap gol itu menjadi noktah kebangkitan pemain Brazil berkenaan.