Jenazah A Samad Said selamat dikebumikan di Bukit Kiara

Jenazah Sasterawan Negara keempat, Datuk Seri A Samad Said, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara sekitar 10.53 pagi di Kuala Lumpur hari ini. Allahyarham meninggal dunia pada petang semalam pada usia 94 tahun, selepas selesai disolatkan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar pada 10.15 pagi.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, selain rakan-rakan rapat Allahyarham termasuk penyanyi dan komposer terkenal Datuk M. Nasir serta tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin. Bacaan talkin disempurnakan oleh Ketua Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Ustaz Muhammad Ansari Paslan.
Pada 23 November lalu, Allahyarham dilaporkan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat sakit tua. Pemergian beliau meninggalkan kesan mendalam dalam dunia kesusasteraan Melayu, khususnya selepas lebih tujuh dekad mengabdikan diri dalam bidang penulisan.
Allahyarham dianggap antara tokoh paling berpengaruh dalam sejarah kesusasteraan Melayu moden, dikenali sebagai penyair dan novelis serta suara nurani rakyat, penggerak budaya dan lambang keteguhan bahasa Melayu. Antara karya beliau yang terkenal ialah Salina, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Hujan Pagi dan Lantai T. Pinkie, dengan Salina diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa. Beliau turut menerima pelbagai anugerah termasuk Anugerah Pejuang Sastera (1976), SEA Write Award (1979) dan Anugerah Sastera Negara (1985), selain Darjah Kebesaran Negeri Melaka pada 1997 yang membawakan gelaran Datuk.