Bayern jelaskan bila simptom neurologi Musiala mula dikesan

MUNICH: Bayern Munich menjelaskan Jamal Musiala mula menjalani pemeriksaan berhubung simptom gangguan neurologi pada 22 April 2025, lebih dua bulan selepas pemain tengah itu menandatangani lanjutan kontrak bersama kelab berkenaan pada 14 Februari 2025.
Dalam kenyataan bersama 11WINS, agensi yang mewakili Musiala, Bayern berkata pemeriksaan dilakukan dengan pengetahuan kelab dan jabatan perubatannya sejurus selepas simptom itu mula muncul. Kelab berkenaan tampil memberikan penjelasan susulan khabar angin yang tersebar sejak beberapa hari lalu.
Pemeriksaan itu membabitkan simptom yang menyerupai sawan absans. Musiala, pemain antarabangsa Jerman berusia 23 tahun, kemudian mendedahkan bahawa dia mengalami gangguan neurologi yang boleh menyebabkan sawan sementara, namun keadaan itu boleh dirawat.
Isu kesihatan pemain itu kembali menjadi perhatian selepas dia rebah dua kali ketika aksi persahabatan pramusim menjelang kempen 2026-27. Bayern sebelum ini menerima kritikan selepas beberapa tokoh tertinggi kelab mencadangkan Musiala perlu bersedia menerima pengurangan gaji sekiranya masalah kesihatannya menghalang dia daripada kembali ke tahap prestasi terbaik.
Tokoh berpengaruh Bayern, Karl-Heinz Rummenigge, berkata pada Jumaat lalu bahawa kelab perlu berbincang dengan keluarga Musiala dan wakilnya jika pemain itu tidak kembali ke prestasi terdahulu. “Jika dia tidak kembali menjadi Jamal seperti dahulu, kita perlu berbincang dengan keluarganya, pemain itu sendiri dan terutama agensinya kerana secara terus terang, angka kewangan semasa tidak lagi boleh dipertahankan,” katanya.
Kenyataan itu mencetuskan kecaman daripada kesatuan pemain antarabangsa, FIFPRO, pada Sabtu. Kesatuan itu menyifatkan tindakan Bayern sebagai strategi terselaras untuk memberi tekanan kepada Musiala dan wakilnya menjelang sebarang rundingan.
Musiala antara pemain bergaji tertinggi Bayern. Media Jerman melaporkan pendapatan tahunannya dianggarkan sekitar €25 juta (RM116 juta). Dalam kenyataan terbaharu, Bayern turut mengesahkan kelab dan pengurusan pemain itu sudah memulakan perbincangan secara konstruktif bagi mencari penyelesaian berhubung perkara berkenaan.