Batmobile Batman Returns dilelong dengan nilai dianggarkan RM31.2 juta

Kenderaan ikonik Batmobile yang digunakan dalam filem pecah panggung arahan Tim Burton, Batman Returns pada 1992 dilelong di Gardena, California dengan harga dianggarkan mencecah RM31.2 juta. Lelongan anjuran Julien's Auctions turut menampilkan puluhan barangan memorabilia Batman dan adiwira lain, dengan pelantar bidaan memerlukan pembida mempunyai kemampuan kewangan setanding Bruce Wayne, watak jutawan yang juga identiti sebenar adiwira Batman.
Batmobile yang dikenali sebagai 'Number One Hero Car' itu pernah dirampas watak Penguin dan dipandu laju merentasi jalan raya Gotham City dalam filem berkenaan. Pembinaan kenderaan itu melibatkan tiga unit yang dihasilkan khas untuk filem tersebut, dan satu daripada unit berkenaan menjadi fokus utama lelongan. Ia dianggarkan bernilai antara AS$5 juta (RM22.3 juta) hingga AS$7 juta (RM31.2 juta) sebelum lelongan, berpotensi memecahkan rekod jualan Batmobile yang dicatat pada 2013.
Menurut Julien's Auctions, Batmobile berkenaan digunakan dalam kebanyakan babak pemanduan filem itu. Menurut sejarah selepas penggambaran selesai, kenderaan berkenaan dipamerkan untuk tempoh tertentu di Marconi Automotive Museum di Tustin, California. Antara ciri menonjol ialah cat asal, enjin dan sistem ekzos berapi yang dikawal menggunakan alat kawalan jauh.
Bagi pemilik baharu, terdapat syarat ketat yang perlu dipatuhi. Kenderaan tidak boleh dipandu di jalan awam kerana tidak memenuhi syarat untuk kegunaan jalan raya. Enjin dan sistem transmisinya juga hanya diuji dalam jumlah terhad sejak produksi berakhir. Perjanjian dengan Warner Bros Consumer Products Inc menggariskan keperluan tertentu, termasuk pembeli perlu mendapatkan kebenaran sebelum mempamerkan kenderaan pada acara khas, serta kenderaan mesti kekal tidak bergerak sepanjang tempoh dipamerkan kepada orang ramai. Julien's Auctions menyatakan Batmobile ini antara kenderaan sinematik paling dikenali dan penting dalam sejarah Hollywood.