Anwar: Yuran rawatan asas di fasiliti kesihatan awam kekal

KUALA LUMPUR: Yuran rawatan asas di hospital dan klinik kerajaan dijangka kekal pada kadar semasa bagi mengelakkan pesakit berpendapatan rendah terbeban, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini.
Beliau berkata, tiada asas untuk menaikkan yuran berkenaan kerana kadar gaji masih belum seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan kos sara hidup. Yuran pesakit luar bersubsidi di fasiliti Kementerian Kesihatan ketika ini ialah RM1 bagi rawatan am dan RM5 untuk perkhidmatan pakar.
“Apakah asas untuk mengenakan bayaran RM10? Jika orang mampu, saya bersetuju. Mereka berpendapatan tinggi yang memilih wad kelas pertama di hospital kerajaan boleh membayar lebih.
“Walaupun inflasi rendah, adakah kita patut menaikkan cukai atau yuran untuk rakyat biasa? Saya tidak bersedia berbuat demikian,” katanya dalam program Dialog Negara terbitan RTM yang disiarkan di TV1 dan RTMKlik malam ini.
Program itu turut disiarkan serentak menerusi Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata sektor kesihatan kekal sebagai penerima peruntukan kedua terbesar di bawah Belanjawan Madani, selepas pendidikan. Katanya, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kebajikan petugas kesihatan dan mutu perkhidmatan kesihatan awam.
Beliau berkata kerajaan akan menghentikan pengambilan doktor secara kontrak mulai 1 Jan tahun depan. Penjimatan puluhan bilion ringgit hasil pengawasan lebih ketat serta usaha membanteras rasuah dan kehilangan dana awam, katanya, membantu kerajaan membuat keputusan itu.
“Apabila kita memutuskan untuk menamatkan pengambilan doktor secara kontrak, kita mempunyai peruntukan baharu. Kontrak palsu ini mesti dihentikan. Ada yang tidak suka apabila saya menyebutnya sebagai ‘sakau’ (merompak), tetapi itulah hakikatnya.
“Mereka tidak sedar kita menjimatkan puluhan bilion ringgit dengan memperketat pengawasan. Tiada perbincangan, dan mereka mengambil RM200 juta hingga RM300 juta di bawah meja. Mesti ada tender. Kita mengembalikan wang ini kepada rakyat,” katanya.
Anwar berkata penjimatan itu membolehkan kerajaan membiayai program utama tanpa menaikkan cukai atau mengurangkan subsidi asas. Antara peruntukan yang disebutnya ialah RM16 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), RM18 bilion bagi pelarasan gaji penjawat awam serta RM40 bilion untuk mengekalkan subsidi bahan api.
Beliau turut menegaskan keperluan menempatkan doktor di kawasan luar bandar dan terpencil. Anwar juga menggesa rakyat mengurangkan pengambilan gula dan bersenam secara berkala bagi membantu membendung peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan obesiti.
Antara ahli panel dialog itu ialah pengasas Komuniti Pejuang Hartanah Datuk Ahyat Ishak, pengarah strategi kumpulan KRA Amir Fareed Rahim dan pegawai perubatan serta pempengaruh media sosial Dr Malar Santhi Santherasegapan. Turut serta ialah usahawan dan pencipta kandungan digital Adam Shamil, pengasas merangkap ketua pegawai eksekutif PlusVibes Group Dr Madiha Fuad serta ketua pegawai operasi kumpulan Farm Fresh Berhad Azmi Zainal.
Panel lain termasuk pendakwah bebas Izzhar Nazri, pengasas Architects of Diversity (AOD) Malaysia Jason Wee dan presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali.