BAP RM200: Ibu bapa perlu hadir ke sekolah sebelum bantuan diberikan - Anwar

Sumber: Sinar Harian

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ibu bapa perlu hadir ke sekolah anak masing-masing bagi mengetahui perkembangan pendidikan serta berpeluang bertemu guru untuk mendapatkan nasihat berkaitan pembelajaran dan disiplin sewaktu penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM200 tahun depan. Beliau berkata bantuan itu tidak akan diserahkan terus ke rumah kerana kerajaan mahu ibu bapa turut mengambil tahu keadaan anak-anak di sekolah.

Beliau berkata, untuk tahun depan semua anak-anak akan mendapat RM200 tetapi pengalaman menunjukkan ibu bapa perlu datang ke sekolah. “Kita tak serah wang itu ke rumah. Kerana kita mahu ibu bapa itu tahu sekolah anaknya, jumpa guru-guru dan guru boleh beri nasihat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Prakarsa AI Pendidikan Negara: AI Temu AI di sini pada Rabu.

Anwar turut meminta Kementerian Pendidikan (KPM) mengatur pertemuan antara guru, murid dan ibu bapa bagi membolehkan pihak sekolah berkongsi maklumat mengenai tingkah laku serta perkembangan anak-anak. beliau menambah, “Kalau tak datang ke sekolah, Fadhlina, (Menteri Pendidikan), jangan bagi wang itu.”

Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab mendidik anak tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah dan ibu bapa perlu memainkan peranan bersama dalam membentuk disiplin serta akhlak mereka. “Mana mungkin keluarga diserah 100 peratus mendidik anak ke sekolah? Salah. Ibu bapa mempunyai juga tanggungjawab,” katanya.

Dalam ucapan yang sama, Anwar berkata isu disiplin dan buli tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pihak sekolah, sebaliknya memerlukan kerjasama ibu bapa untuk membentuk tingkah laku serta akhlak anak-anak. Beliau turut menekankan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan perlu disertai pembentukan nilai dan akhlak serta tidak menggantikan asas pembelajaran seperti membaca dan mengira. Beliau menambah AI seharusnya membantu murid menjadi lebih berpengetahuan, namun pendidikan tetap melahirkan insan yang baik serta berdisiplin, sambil menegaskan, “AI bukan menguasai kita. Kita yang harus menguasai AI.”