BAP RM200: Anwar tekankan ibu bapa hadir ke sekolah mula tahun depan

Sumber: Sinar Harian

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan ibu bapa perlu hadir ke sekolah anak masing-masing bagi mengetahui perkembangan pendidikan serta berpeluang bertemu guru untuk mendapatkan nasihat berkaitan pembelajaran dan disiplin sewaktu penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM200, tahun hadapan. Beliau berucap pada majlis pelancaran Prakarsa AI Pendidikan Negara: AI Temu AI.

Anwar berkata pemberian itu tidak akan diserahkan terus ke rumah kerana kerajaan mahu ibu bapa turut mengambil tahu keadaan serta perkembangan anak-anak di sekolah. “Sebab itu saya beritahu kepada Kementerian Pendidikan (KPM), untuk tahun depan, semua anak-anak akan dapat RM200 tetapi berdasarkan pengalaman, kita minta ibu bapa datang ke sekolah. Kita tak serah wang itu ke rumah. Kerana kita mahu ibu bapa itu tahu sekolah anaknya, jumpa guru-guru dan guru boleh beri nasihat,” katanya di sini pada Rabu.

Beliau turut menyeru KPM mengatur pertemuan antara guru, murid dan ibu bapa agar pihak sekolah dapat berkongsi maklumat mengenai tingkah laku serta perkembangan anak-anak. Beliau menambah, “Kalau tak datang ke sekolah, Fadhlina, (Menteri Pendidikan), jangan bagi wang itu.”

Anwar menegaskan tanggungjawab mendidik anak tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah, sebaliknya ibu bapa perlu memainkan peranan bersama dalam membentuk disiplin dan akhlak mereka. “Mana mungkin keluarga diserah 100 peratus mendidik anak ke sekolah? Salah. Ibu bapa mempunyai juga tanggungjawab,” katanya. Beliau juga berkata isu disiplin dan buli tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pihak sekolah, sebaliknya memerlukan kerjasama ibu bapa dalam membentuk tingkah laku serta akhlak anak-anak.

Dalam ucapan yang sama, Anwar menekankan bahawa penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan perlu disertai pembentukan nilai dan akhlak, selain tidak menggantikan asas pembelajaran seperti membaca dan mengira. Beliau menegaskan teknologi itu sepatutnya membantu murid menjadi lebih berpengetahuan, namun pendidikan tetap perlu melahirkan insan yang baik serta berdisiplin. “AI bukan menguasai kita. Kita yang harus menguasai AI,” katanya.