Ayam tidak dimasak sempurna, pengusaha kantin MRSM berdepan senarai hitam jika cuai

Ayer Keroh: Syarikat pengusaha kantin Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba, Jasin berdepan tindakan senarai hitam jika terbukti cuai menyediakan makanan kepada pelajar, kata EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET negeri Melaka, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali. Beliau berkata kerajaan negeri sedang menunggu laporan lengkap daripada MRSM dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebelum tindakan lanjut diputuskan. Insiden ayam tidak dimasak sepenuhnya yang tular di media sosial itu amat dikesali kerana membabitkan keselamatan pelajar terutama ketika mereka bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek menegaskan kesal kejadian itu berlaku dalam institusi pendidikan di negeri ini, terutama terhadap pelajar yang akan mengambil peperiksaan penting. Malah, beliau berkata kejadian itu turut melibatkan kenyataan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang turut melahirkan rasa kecewa terhadap kejadian ayam tidak dimasak sepenuhnya di kantin maktab berkenaan. Difahamkan, syarikat pengusaha kantin berkenaan hanya mempunyai baki tempoh perkhidmatan lebih sebulan sebelum kontraknya tamat.
Mohd Ridhwan berkata sekiranya siasatan mengesahkan berlaku kecuaian, syarikat terbabit boleh disenarai hitam daripada beroperasi di mana-mana peringkat di Melaka sebagai pengajaran kepada pengusaha lain. Sebelum ini, tular dakwaan pelajar MRSM Tun Ghafar Baba dihidangkan ayam masak kicap yang tidak dimasak sempurna ketika makan malam di dewan selera institusi itu. Aduan berkenaan dikemukakan pelajar dan ibu bapa kepada Asyraf Wajdi sebelum beliau berkongsi perkara itu menerusi media sosial bersama beberapa keping gambar sebagai bukti. Laporan awal mendapati hidangan ayam masak kicap habis kira-kira jam 6.40 petang menyebabkan sebahagian pelajar terpaksa menunggu sehingga jam 7.10 malam untuk mendapatkan makanan yang dimasak semula.