ASEAN perkenal lapan inisiatif strategik perkukuh industri mineral
KUALA LUMPUR – ASEAN mempergiat kerjasama serantau dalam sektor mineral kritikal menerusi lapan inisiatif strategik bagi menarik pelaburan, mempercepat pembangunan industri hiliran dan memperkukuh rantaian bekalan susulan peningkatan permintaan global.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata inisiatif itu bertujuan memperkukuh pelaburan bertanggungjawab, integrasi rantaian nilai serta pembangunan mampan. Usaha berkenaan juga diharap meletakkan ASEAN sebagai pemain utama dalam industri mineral kritikal global.
Beliau berkata ASEAN perlu beralih daripada peranan sebagai pembekal bahan mentah kepada kegiatan bernilai tambah tinggi, selari dengan permintaan terhadap mineral yang digunakan dalam sektor tenaga hijau dan teknologi termaju.
“Bagi mencapai matlamat ini, kita perlu melangkaui peranan sebagai pembekal bahan mentah semata-mata dengan beralih kepada aktiviti bernilai tambah tinggi, termasuk pemprosesan mineral di peringkat pertengahan rantaian nilai, pembuatan termaju, inovasi teknologi terkini serta amalan ekonomi kitaran,” katanya.
Arthur berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian bersama Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Mineral (AMMin) Ke-11 dan Forum Pelaburan Mineral ASEAN (AMVest) 2026, di sini pada Selasa.
Antara inisiatif yang digariskan ialah menetapkan definisi bersama dan menyediakan senarai serantau 30 mineral kritikal. Senarai itu akan menjadi panduan dalam merangka Strategi dan Pelan Hala Tuju Pelaksanaan Mineral Kritikal ASEAN.
Inisiatif lain termasuk memperkukuh kerjasama institusi, menyediakan garis panduan pembangunan mineral mampan dan mewujudkan rangka kerja pemantauan bagi Pelan Tindakan Kerjasama Mineral ASEAN (AMCAP-IV) 2026-2030.
ASEAN turut merangka Pelan Kerjasama Mineral ASEAN Campur Tiga 2026-2031 untuk memperkukuh kerjasama dengan China, Jepun dan Korea Selatan. Kerjasama itu merangkumi pembangunan mampan, pelaburan, pemindahan teknologi serta perindustrian hiliran.
Dalam pada itu, Arthur berkata AMVest akan dijadikan platform tahunan rasmi ASEAN bagi menghubungkan kerajaan, pelabur dan peneraju industri. Beliau turut menggesa usaha menggerakkan pelaburan dalam projek yang berdaya maju dan layak memperoleh pembiayaan, di samping mempercepat perindustrian hiliran.
Beliau berkata penyelarasan dasar serantau, piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta rangka kerja pelaburan yang telus turut perlu diperkukuh.
“Kerjasama serantau amat penting bagi memenuhi keperluan modal dan teknologi yang besar dalam sektor mineral, selain menterjemahkan komitmen dasar kepada hasil yang nyata,” katanya.