Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said

Sumber: Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hadir memberi penghormatan terakhir kepada Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said, di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, malam Selasa. Ketibaan Anwar kira-kira jam 10.50 malam turut diiringi Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Anwar kemudian menyertai ahli keluarga Allahyarham, rakan penggiat seni dan orang ramai membaca surah Yasin serta mengadakan majlis tahlil ringkas bagi mendoakan roh Allahyarham.

A Samad Said meninggal dunia pada usia 91 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 6.10 petang Selasa. Sebelum itu, Anwar menerusi hantaran di Facebook menzahirkan rasa hiba dan sayu atas pemergian tokoh kesusasteraan negara berkenaan.

Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh yang banyak mengangkat kehidupan golongan terpinggir menerusi karya sastera, selain mengajak masyarakat memahami perjuangan dan harapan mereka.

“Lewat ‘Salina’ (1961), Pak Samad mendekatkan kita kepada insan yang sering tersisih, agar kita turut menggarap duka dan memperjuang harapan mereka.

“Kasihnya kepada rakyat akan terus hidup dalam karya-karyanya, juga dalam kecekalannya membela bahasa Melayu dan memperjuangkan keadilan,” kongsi Anwar.

A Samad Said, atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said, dilahirkan di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Beliau menerima Anugerah Sastera Negara pada 1985 dan menghasilkan beberapa karya terkenal, termasuk *Salina*, *Sungai Mengalir Lesu*, *Langit Petang* serta *Hujan Pagi*.

Solat jenazah Allahyarham dijadualkan berlangsung pada jam 10 pagi Rabu di masjid berkenaan sebelum beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.