Anwar akui belum ada undang-undang sesuai ganti Akta Hasutan

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum mempunyai perundangan alternatif yang sesuai untuk menggantikan Akta Hasutan 1948 (Akta 15), walaupun terdapat pelbagai pandangan dan bantahan terhadap akta itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata, beliau sendiri tidak bersetuju dengan Akta 15, namun mengakui belum ada undang-undang ganti yang boleh digunakan bagi menyelesaikan pertikaian, khususnya berkaitan hubungan antara kaum. Katanya, keharmonian kaum menjadi keutamaan pimpinan ketika Akta Hasutan digubal.
Beliau berkata, ketegasan dalam perkara itu bermula pada era Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, juga tegas dalam isu berkenaan sehingga membawa kepada penggubalan akta itu.
“Banyak pandangan mengenai masalah Akta 15, termasuk saya. Namun, kita tidak ada penyelesaian ganti untuk menjernihkan hubungan antara kaum,” katanya ketika menjawab soalan tambahan S Kesavan (PH-Sungai Siput) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri.
Kesavan meminta penjelasan sama ada terdapat jurang perundangan yang memerlukan campur tangan lebih menyeluruh, dengan mengambil kira jumlah kes pendakwaan yang lebih rendah berbanding laporan polis.
Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan bahawa bantahan atau pandangan boleh dikemukakan berhubung kes tertentu tanpa mengira perbezaan latar belakang, bagi memperkasa integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM). Beliau berkata, penghinaan terhadap mana-mana agama tidak sepatutnya dibenarkan jika keharmonian mahu dipelihara.
“Kalau kita betul-betul jaga keharmonian, jangan izinkan penghinaan ke atas mana-mana agama. Baru boleh negara ini selamat,” katanya. Beliau turut menyentuh persepsi bahawa penghinaan terhadap agama lain dibenarkan, tetapi penghinaan terhadap Islam dihalang.
Anwar berkata, jika undang-undang dalam semua perkara hanya mengikut anutan agama dan kaum masing-masing, keselamatan serta keharmonian negara sukar dijamin. Beliau menggesa siasatan kes berkaitan keharmonian kaum dijalankan secara telus dan pihak berkaitan diberi ruang mengemukakan bantahan jika berlaku ketidakadilan.
Beliau turut berkata, proses siasatan kadangkala mengambil masa terlalu lama, sambil merujuk kepada isu penghinaan terhadap institusi diraja di Negeri Sembilan. Katanya, isu itu menimbulkan persoalan mengenai tindakan tegas, selain boleh dilihat melalui polemik kepartian, politik atau kaum. Anwar menegaskan penghinaan terhadap mana-mana agama perlu dihalang.