Anggota MPV cedera ketika menahan lelaki warga emas mengamuk

Sumber: Harian Metro
Anggota MPV cedera ketika menahan lelaki warga emas mengamuk
Gambar: Harian Metro

SUNGAI BESAR: Seorang anggota polis cedera di kepala ketika menjalankan tugas menahan seorang lelaki warga emas yang mengamuk di sebuah rumah di Sungai Panjang, di sini, semalam.

Anggota berusia 30-an itu bertugas dengan Unit Peronda Polis (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad, berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 12.09 tengah hari. Anggota MPV berkenaan kemudian digerakkan ke lokasi untuk membuat pemeriksaan sebelum mengambil tindakan menahan suspek.

“Bagaimanapun, anggota polis mengalami kecederaan ketika menjalankan tugas. Anggota itu dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Md Yusof berkata suspek, yang juga penganggur, berjaya ditahan dan dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan serta penilaian perubatan. Siasatan mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod lampau jenayah atau dadah.

Suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan, katanya. Polis masih menyiasat kes itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.