Lapan jajahan Kelantan berisiko banjir hingga Jumaat

Sumber: Astro Awani
Lapan jajahan Kelantan berisiko banjir hingga Jumaat
Gambar: Astro Awani

KOTA BHARU: Lapan jajahan di Kelantan dijangka berisiko dilanda banjir mulai hari ini hingga Jumaat susulan ramalan hujan berterusan, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

JPS menerusi Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) berkata ramalan awal itu dikeluarkan susulan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) oleh Jabatan Meteorologi pada 2 petang tadi. Jajahan yang berpotensi terjejas ialah Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu dan Machang.

Kawasan berisiko meliputi beberapa lembangan sungai utama, terutama titik panas banjir, kawasan rendah dan lokasi yang dikenal pasti berisiko. Di Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat, risiko melibatkan lembangan Sungai Golok, manakala Kota Bharu dan Machang membabitkan lembangan Sungai Kelantan.

Di Pasir Puteh, kawasan berisiko terletak di lembangan Sungai Kelantan dan Sungai Semerak. Risiko di Bachok pula melibatkan lembangan Sungai Semerak, Sungai Kemasin serta Sungai Gali.

JPS akan meneruskan pemantauan dan mengeluarkan hebahan amaran banjir sekiranya hujan berterusan di lembangan sungai berkenaan. Penduduk di kawasan yang dijangka terjejas diminta sentiasa berwaspada serta peka terhadap arahan pihak berkuasa dan agensi pengurusan bencana.

JPS turut mengingatkan banjir mungkin berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh yang dijangkakan. Maklumat semasa boleh diperoleh menerusi portal publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook PublicInfoBanjir.

Jabatan Meteorologi sebelum ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi beberapa kawasan di Kelantan serta seluruh Terengganu hingga Jumaat ini.