Jantung Nurul Natasya selamat diterima remaja lelaki di IJN

Sumber: Harian Metro
Jantung Nurul Natasya selamat diterima remaja lelaki di IJN
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Pembedahan pemindahan jantung yang didermakan Allahyarham Nurul Natasya Ahmat Jaaffar kepada seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dari Sandakan, Sabah, berjaya dilakukan di Institut Jantung Negara (IJN), semalam.

Ibu Allahyarham, Noreah Omar, meluahkan rasa syukur selepas dimaklumkan jantung anaknya selamat diterima pesakit berkenaan. Beliau berkata, Nurul Natasya ikhlas memberikan peluang kepada insan lain untuk meneruskan kehidupan, tanpa mempersoalkan bangsa penerima.

“Alhamdulillah, jantung anak ibu Nurul Natasya Ahmat Jaaffar sudah selamat sampai ke penerima dan berjaya dalam pembedahan. Tak kiralah bangsa apa yang menerimanya, anak kesayangan ibu Asya ikhlas,” katanya.

Noreah turut mendoakan agar penerima dapat menjalani kehidupan lebih baik dan dikurniakan kesihatan berpanjangan. Dalam masa sama, beliau meluahkan kerinduan terhadap anaknya dan menganggap setiap degupan jantung itu sebagai pengubat rindu.

“Semoga si penerima menjalani kehidupan baik dan sihat. Setiap degupan jantungnya adalah kerinduan ibu. Memelukmu. Allahuakbar,” luahnya menerusi ruangan komen di laman Facebook IJN.

Nurul Natasya meninggal dunia pada Ahad lalu selepas terbabit dalam kemalangan di Kluang pada 19 November lalu. Selain jantung, Allahyarham turut mendermakan paru-paru dan hati.

Warga Hospital Sultanah Aminah turut memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham menerusi Walk of Honour, sebagai menghargai pengorbanan dan sumbangannya kepada insan lain yang memerlukan.

Dalam hantaran berkaitan, IJN memaklumkan pesakit sudah sedar sehari selepas pembedahan dan menunjukkan perkembangan baik. Keadaan itu disifatkan sebagai pencapaian memberangsangkan dalam perjalanan pemulihan remaja berkenaan.

IJN berkata kejayaan itu dicapai hasil dedikasi dan penyelarasan pasukan pemindahan pelbagai disiplin IJN, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA). Pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada penderma organ dan keluarganya atas kemurahan hati yang memberikan pesakit peluang kedua untuk hidup.

Luahan Noreah mengundang sebak dalam kalangan pengguna media sosial, yang turut menitipkan doa buat penerima dan keluarga Allahyarham. Seorang doktor yang merawat remaja itu di Sabah turut mengucapkan terima kasih kepada Noreah atas sumbangan berkenaan.