Akta 173, 174 akan dipinda untuk perluas kebebasan mahasiswa UiTM

Sumber: Harian Metro
Akta 173, 174 akan dipinda untuk perluas kebebasan mahasiswa UiTM
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173) dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174) turut dipinda bagi memperluas kebebasan bersuara mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan usaha kerajaan memansuhkan peruntukan tertentu dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 serta memperkenalkan kerangka perundangan baharu bagi sektor pendidikan tinggi.

Anwar berkata, meskipun pindaan menyeluruh terhadap akta berkaitan universiti mengambil masa, usaha meluaskan hak dan kebebasan mahasiswa perlu disegerakan, termasuk bagi mahasiswa UiTM yang tertakluk kepada Akta 173 dan Akta 174.

“Jadi saya telah memberitahu supaya arahan saya itu terpakai secara keseluruhan. Maknanya tindakan harus diambil walaupun ada rancangan untuk meminda Akta MARA, tetapi mungkin mengambil masa lebih lama.

“…yang disegerakan seperti dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi ialah untuk membatalkan peruntukan AUKU,” katanya dalam program ‘Dialog Negara’ yang disiarkan menerusi saluran TV1 dan aplikasi RTMKlik, malam ini.

Program itu turut disiarkan serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.

Anwar berkata, beberapa peruntukan dalam Akta 173 dan Akta 174 didapati mengenakan sekatan lebih ketat terhadap mahasiswa. Peruntukan berkenaan perlu diteliti semula supaya selaras dengan semangat kebebasan bersuara dan kematangan golongan itu.

Beliau menegaskan mahasiswa, termasuk Bumiputera, perlu diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan dan mengembangkan pemikiran tanpa dikongkong pendekatan lama.

“Anak-anak Bumiputera kita patut diberikan ruang dan kebebasan. Biar mereka bersuara, biar mereka memberikan pandangan. Mengapa perlu dikongkong pemikiran mereka?” katanya.

Menurutnya, alasan menjaga disiplin tidak seharusnya digunakan untuk menyekat kebebasan mahasiswa. Sebaliknya, mereka perlu diberi kepercayaan dan dilatih berfikir secara matang.

“Saya tidak mahu menggunakan akta itu untuk menjaga saudara (mahasiswa). Jadi kita berikan ruang kebebasan. Kalau kita tidak melatih anak-anak dan memberikan keyakinan serta kepercayaan kepada mereka, bagaimana masa depan kita?” katanya.

Anwar berkata mahasiswa bukan lagi kanak-kanak atau pelajar sekolah, justeru wajar diberi kebebasan menyuarakan pandangan dan menyertai perbincangan mengenai isu semasa serta politik. Bagaimanapun, kebebasan itu tidak mengecualikan mereka daripada tindakan undang-undang jika melakukan kesalahan jenayah, kerana perkara berkenaan tertakluk kepada undang-undang lain.