Akta 173 dan 174 turut dipinda demi kebebasan bersuara mahasiswa UiTM

Sumber: Harian Metro
Akta 173 dan 174 turut dipinda demi kebebasan bersuara mahasiswa UiTM
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173) dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174) turut dipinda bagi memperluas kebebasan bersuara mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan usaha kerajaan memansuhkan peruntukan tertentu dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 serta memperkenalkan kerangka perundangan baharu untuk sektor pendidikan tinggi.

Menurutnya, walaupun pindaan menyeluruh terhadap akta berkaitan universiti mungkin memerlukan masa, usaha memperluas hak dan kebebasan mahasiswa perlu disegerakan. Ini termasuk mahasiswa UiTM yang tertakluk kepada Akta 173 dan Akta 174.

“Jadi saya telah memberitahu supaya arahan saya itu terpakai secara keseluruhan. Maknanya tindakan harus diambil walaupun ada rancangan untuk meminda Akta MARA, tetapi mungkin mengambil masa lebih lama,” katanya.

Anwar berkata, tindakan yang perlu disegerakan ialah seperti langkah Kementerian Pendidikan Tinggi untuk membatalkan peruntukan AUKU. Beliau berkata demikian dalam program ‘Dialog Negara’ yang disiarkan menerusi TV1 dan aplikasi RTMKlik, malam ini. Program itu turut disiarkan serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.

Beliau berkata beberapa peruntukan dalam Akta 173 dan Akta 174 didapati mengenakan sekatan lebih ketat terhadap mahasiswa. Peruntukan itu perlu diteliti semula supaya selaras dengan semangat kebebasan bersuara dan kematangan golongan berkenaan.

Perdana Menteri berkata mahasiswa, termasuk golongan Bumiputera, patut diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan dan mengembangkan pemikiran tanpa dikongkong pendekatan lama yang mengehadkan kebebasan mereka.

“Anak-anak Bumiputera kita patut diberikan ruang dan kebebasan. Biar mereka bersuara, biar mereka memberikan pandangan. Mengapa perlu dikongkong pemikiran mereka?” katanya.

Anwar berkata alasan menjaga disiplin tidak seharusnya digunakan untuk menyekat kebebasan mahasiswa. Sebaliknya, mereka perlu diberikan kepercayaan dan dilatih supaya dapat berfikir secara matang.

“Saya tidak mahu menggunakan akta itu untuk menjaga saudara (mahasiswa). Jadi kita berikan ruang kebebasan. Kalau kita tidak melatih anak-anak dan memberikan keyakinan serta kepercayaan kepada mereka, bagaimana masa depan kita?” katanya.

Beliau berkata mahasiswa bukan lagi kanak-kanak atau pelajar sekolah, justeru wajar diberikan kebebasan untuk menyuarakan pandangan dan menyertai perbincangan mengenai isu semasa serta politik. Bagaimanapun, kebebasan bersuara tidak mengecualikan mereka daripada tindakan undang-undang jika melakukan kesalahan jenayah.