Aidil mahu Kuching City tebus kekalahan kepada Phnom Penh Crown

Kuching City FC menerima kunjungan Phnom Penh Crown FC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Taha Ariffin esok, dengan misi hidup mati untuk membalas kekalahan pada pertemuan pertama dan mengembalikan momentum kemenangan dalam saingan berprestij Asia itu. Berbekalkan kelebihan beraksi di laman sendiri, skuad The Cats bertekad bangkit daripada kekalahan lalu.
Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, berkata setiap perlawanan cukup penting buat pasukannya dan memerlukan komitmen penuh daripada pemain untuk memburu kemenangan. “Pada saya, setiap perlawanan adalah hidup mati kerana kami mahu sentiasa memotivasikan diri untuk mengekalkan momentum kemenangan. Kami mahu membalas sokongan peminat dan menunjukkan kepada mereka bahawa kami mampu bangkit selepas kekalahan pada perlawanan pertama,” katanya.
Aidil bagaimanapun mengakui Phnom Penh Crown bukan lawan mudah, apatah lagi pasukan itu kini berada dalam kelompok teratas carta. Beliau percaya situasi berbeza kali ini mampu memberi kelebihan kepada Kuching City, terutama dari segi persediaan dan kecergasan pemain. “Kami menghormati mereka kerana mereka pasukan yang bagus dan berada di kedudukan teratas, tetapi perlawanan esok akan menjadi perlawanan yang berbeza. Kami mempunyai masa rehat lebih panjang dan sudah tentu mahu memburu kemenangan dengan mengawal rentak permainan yang baik,” katanya.