Anwar sifatkan pemergian A Samad Said kehilangan besar buat negara

Sumber: Astro Awani
Anwar sifatkan pemergian A Samad Said kehilangan besar buat negara
Gambar: Astro Awani

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said sebagai kehilangan besar buat negara ketika menziarahi jenazah Allahyarham di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, pada Selasa malam.

Anwar berkata, beliau mengenali Pak Samad sebagai sahabat setia, pencinta seni dan sastera serta pendidik bangsa. Beliau turut mengagumi ketekunan Allahyarham berkarya, termasuk ketika mengirimkan bahan bacaan kepadanya semasa berada di Sungai Buloh.

“Saya tentunya pernah ke hadapan dia, kenal dia sahabat setia, saya ingat sepanjang saya di Sungai Buloh tu semua karya-karya dia dia pastikan dia kirim kepada saya,” katanya kepada media selepas menziarahi jenazah.

Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada isteri dan keluarga Allahyarham. Beliau berkata negara perlu memikirkan usaha untuk mengangkat martabat tokoh besar Sasterawan Negara itu.

“Negara tentunya kehilangan seorang tokoh besar, Sasterawan Negara dan kita tentunya harus memikirkan bagaimana untuk menaikkan status tokoh besar Sasterawan Negara ini,” katanya, sambil mendoakan yang terbaik buat keluarga Allahyarham.

Mengulas pesanan Allahyarham yang boleh menjadi inspirasi kepada generasi muda, Anwar berkata hubungan persahabatan dan perutusan surat antara mereka berterusan sejak 1998. Beliau turut menyebut pendirian Pak Samad yang diketahui menerusi hubungan itu.

Anwar berkata, Allahyarham gigih mempertahankan kecintaannya terhadap bahasa dan sastera. Menurutnya, Pak Samad tidak menganggap sastera sebagai bidang khusus yang terpisah daripada kehidupan masyarakat, sebaliknya melihatnya sebagai unsur penting dalam pembinaan bangsa dan tamadun.

“Kehidupan bangsa dan pembinaan tamadun itu harus bersandarkan juga kepada kekuatan sastera,” katanya.

Perdana Menteri turut berkongsi pengalaman melihat sendiri ketekunan Allahyarham membaca dan membuat catatan pada buku-buku di kediamannya. Beliau berkata sukar untuk menemukan individu yang membaca dengan kesungguhan seperti Pak Samad.

“Kalau dari segi pembacaan saya belum jumpa seorang yang begitu gigih membaca seperti mana Sasterawan Negara A. Samad Said,” katanya.

Anwar berkata, Allahyarham turut menekuni karya sastera dari seluruh dunia dan berusaha menguasai bidang itu. Beliau menyifatkan kemahiran serta penguasaan ilmu sastera Pak Samad sebagai sesuatu yang sukar digantikan.