8 jam bertungkus-lumus di HKL bagi selamatkan tangan Lans Koperal Thierry

Sumber: Harian Metro
8 jam bertungkus-lumus di HKL bagi selamatkan tangan Lans Koperal Thierry
Gambar: Harian Metro

Kuala Lumpur: Selama lapan jam, sepasukan pakar bedah di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bertungkus lumus menyambung semula salur darah selebar beberapa milimeter demi memberi peluang kedua kepada Lans Koperal Thierry Rodger anak Fendy, 26, yang putus tangan kanan selepas diserang lelaki warga asing ketika bertugas di Kepong baru-baru ini. Setiap minit amat berharga, dengan setiap jahitan menentukan segalanya, manakala kesilapan paling kecil sekalipun boleh menyebabkan anggota polis terbabit kehilangan tangannya itu buat selama-lamanya.

Selepas berjaya menjalani pembedahan menyelamatkan tangannya, mangsa kini berdepan satu lagi cabaran iaitu mendapatkan semula keupayaan menggerakkan jari, menggenggam objek dan merasai deria sentuhan. Bagi pasukan pakar bedah yang berjaya menyambung semula tangan mangsa, ukuran kejayaan sebenar mereka adalah melihat anggota polis itu kembali berdikari. Pasukan pembedahan itu diketuai Pakar Bedah Ortopedik serta Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL, Dr Allan Ravi Rajagopal, bersama rakan sejawatan dalam bidang sama, Dr Aziz Sabbir Husain. Bersama anggota pasukan bedah yang lain, mereka melaksanakan salah satu prosedur paling mencabar dalam bidang pembedahan tangan dan pembedahan mikro.

Dr Allan berkata, menyelamatkan tangan berkenaan hanyalah permulaan kepada perjalanan pemulihan yang panjang. "Matlamat kami bukan sekadar menyelamatkan anggota badan, tetapi mengembalikan keupayaan pesakit untuk melakukan aktiviti harian, bekerja dan menjalani kehidupan yang lebih berdikari," katanya dalam jawapan bertulis, hari ini. Tangan kanan anggota polis berkenaan putus sepenuhnya pada bahagian pergelangan tangan apabila diserang ketika bertugas pada 7.30 malam, 11 November lalu. Dia segera dirujuk ke HKL dan dikejarkan ke dewan bedah utama selepas penilaian menyeluruh dilakukan.

Apa yang menyusul adalah lapan jam kerja yang amat teliti, menuntut tumpuan penuh, kesabaran dan ketepatan yang tinggi. Bekerja di bawah mikroskop pembedahan, Dr Allan, Dr Aziz dan pasukan bedah menggunakan peralatan khas serta benang jahitan yang terlalu halus sehingga tidak kelihatan dengan mata kasar, bagi menyambung semula arteri dan vena yang terputus. Mereka turut membaiki tendon dan saraf yang rosak, selain menstabilkan tulang menggunakan implan. Dr Allan berkata, cabaran terbesar adalah berlumba dengan masa untuk memulihkan aliran darah sebelum berlakunya kerosakan tisu yang tidak dapat dipulihkan. "Setiap minit, anggota yang terputus tidak menerima aliran darah akan menyumbang kepada kerosakan tisu. "Sebarang kesilapan atau ketidaktepatan dalam menyambung semula salur darah boleh menjejaskan aliran darah dan menyebabkan prosedur gagal," katanya.

Selain kepakaran pembedahan, beliau berkata, prosedur itu turut menguji ketahanan fizikal dan mental pasukan bedah, apabila setiap anggota perlu kekal fokus sepanjang pembedahan yang panjang itu. Walaupun pasukan bedah mengambil masa lapan jam untuk menyambung semula tangan itu, anggota polis berkenaan mungkin mengambil masa lebih setahun untuk belajar menggunakannya semula. Dr Allan berkata, saraf tumbuh semula pada kadar hanya satu mm sehari, bermakna pemulihan deria dan fungsi otot boleh mengambil masa berbulan-bulan. "Menerusi fisioterapi dan terapi cara kerja, anggota polis ini akan berusaha secara berperingkat untuk mendapatkan semula pergerakan, kekuatan dan koordinasi tangannya. "Kami berharap dapat memulihkan antara 70 hingga 80 peratus fungsi keseluruhan tangan berkenaan," katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa walaupun pembedahan berjaya, pesakit masih berisiko mengalami kekakuan sendi, kelemahan otot atau kehilangan deria separa. "Proses pemulihan memerlukan kesabaran, keazaman dan komitmen daripada pesakit, di samping sokongan berterusan daripada pakar rehabilitasi," katanya. Bagi Dr Allan, kejayaan pembedahan itu menjadi bukti kemampuan yang dapat dicapai menerusi kepakaran dan dedikasi secara berpasukan. "Dalam pembedahan mikro, setiap milimeter amat bermakna. Kepakaran, ketepatan dan kerja berpasukan adalah kunci utama dalam memastikan kejayaan sesuatu prosedur. "Pencapaian ini bukan milik mana-mana individu, sebaliknya kejayaan seluruh pasukan HKL," katanya.