23,761 unit Projek Rumah Mesra Rakyat disiapkan bagi tempoh 2023 hingga 2026

Kuala Lumpur: Sebanyak 24,805 unit Projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) diluluskan dan dilaksanakan di seluruh negara bagi tempoh 2023 hingga 2026, dengan 23,761 unit daripadanya berjaya disiapkan serta diserahkan kepada penerima. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata sebanyak 807 RMR lagi kini berada pada peringkat akhir pembinaan.
Menurutnya, pelaksanaan RMR tertinggi direkodkan di Kelantan membabitkan 3,320 unit, iaitu 13.9 peratus daripada jumlah keseluruhan yang diluluskan dan dilaksanakan di seluruh negara. "Daripada jumlah itu, sebanyak 237 unit berjaya dilaksanakan di Parlimen Jeli, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas akses perumahan kepada rakyat di kawasan berkenaan," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen, malam tadi.
Beliau menjawab soalan Zahari Kechik (Bebas-Jeli) mengenai jumlah RMR yang berjaya disiapkan bagi tahun 2023 hingga 2026 mengikut pecahan negeri dan tempoh masa perlu disiapkan serta tindakan kementerian jika RMR tidak siap dalam tempoh diberikan. Nga berkata, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang berteraskan nilai kesejahteraan, ihsan dan keadilan sosial, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) selaku agensi pelaksana terus berusaha memperkukuh projek RMR sebagai salah satu inisiatif bantuan perumahan bersasar kerajaan.
"Berhubung tempoh pembinaan, mengikut standard pembinaan RMR tempoh pembinaan sesebuah RMR adalah selama tiga bulan. SPNB menetapkan tempoh pelaksanaan berdasarkan syarat kontrak dan skop kerja yang ditetapkan bagi setiap projek. Pemantauan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pembinaan berjalan mengikut jadual serta mematuhi spesifikasi dan standard kualiti yang ditetapkan," katanya.
Menurutnya, setiap kes kelewatan akan dinilai berdasarkan keadaan sebenar projek dan rekod kemajuan kerja bagi memastikan punca serta pihak yang bertanggungjawab dapat dikenal pasti secara adil serta tepat. "Dalam hal ini, peranan SPNB ialah dengan melaksanakan tindakan pemulihan dan intervensi operasi. Salah satu tindakan penyelesaian ialah dengan memperkukuh mekanisme pemantauan projek melalui pengoptimuman sistem e-RMR bagi membolehkan kemajuan pembinaan dipantau secara lebih sistematik dan isu kelewatan dikenal pasti pada peringkat awal," tambah beliau.
"Di samping itu, pemantauan teknikal di tapak turut dipergiat, manakala kontraktor yang gagal mencapai kemajuan kerja ditetapkan akan diberikan peringatan dan diarahkan mengemukakan pelan pemulihan projek. Bagi kontraktor yang terus gagal menunjukkan prestasi memuaskan, SPNB boleh mengambil tindakan kontraktual yang bersesuaian termasuk penamatan kontrak dan menyenaraihitam tertakluk kepada terma dan syarat kontrak serta prosedur yang berkuat kuasa," katanya lagi.