Dua Wanita Lakarkan Sejarah Graduan Sulung Sarjana Pembungkusan Semikonduktor Termaju USM

Georgetown: Dua wanita melakar sejarah apabila menjadi graduan sulung Ijazah Sarjana Sains Pembungkusan Semikonduktor Termaju sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) ke-64 di sini hari ini. Program pengajian itu baharu diperkenalkan universiti itu pada sidang akademik 2025/2026.
Qistin Ahmat, 42, seorang jurutera pemprosesan di Intel Pulau Pinang, berkata keputusan menyambung pengajian secara separuh masa didorong keinginan mendalami teknologi pembungkusan semikonduktor termaju khususnya teknologi 2.5D dan 3D yang semakin mendapat perhatian dalam industri itu. "Teknologi 2.5D dan 3D pembungkusan semikonduktor adalah cabang baharu berbanding teknologi konvensional. Ini satu kelebihan untuk saya meneroka bidang ini dengan lebih mendalam, selain menambah baik kemahiran sedia ada dan dapat berkongsi idea dan pandangan daripada pihak industri," katanya selepas menerima Ijazah Sarjana berkenaan yang disampaikan Canselor USM, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, di sini, hari ini. Beliau berkata walaupun sudah 16 tahun bekerja dalam bidang ini, USM mengambil langkah ke hadapan dengan memperkenalkan program itu dan dia bersyukur dapat menamatkan pengajian dalam tempoh setahun berbanding tempoh minimum dua tahun.
Sementara itu, Phang Jia Xin, 25, berkata keputusan menyambung pengajian dalam bidang itu dibuat selepas tertarik dengan industri pembungkusan semikonduktor ketika menjalani latihan praktikal selepas menamatkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Polimer di USM juga. "Pengalaman ketika latihan industri membuka minat saya untuk mendalami bidang berkenaan selain melihat program sarjana ini sebagai peluang untuk membina asas pengetahuan sebelum melangkah ke industri semikonduktor. Walaupun bidang kejuruteraan dan semikonduktor masih didominasi lelaki, keadaan ini tidak pernah menjadi penghalang untuk saya menceburi dan meneroka bidang semikonduktor," katanya. Phang berkata industri semikonduktor yang sentiasa berubah dan berkembang menjadikan bidang itu cukup mencabar, malah beliau memperoleh kepuasan tersendiri apabila berjaya menyelesaikan sesuatu masalah teknikal.