18 lokasi dikenal pasti laluan serta pendaratan PATI di Kelantan, kata Maritim Kelantan

Sumber: Harian Metro
18 lokasi dikenal pasti laluan serta pendaratan PATI di Kelantan, kata Maritim Kelantan
Gambar: Harian Metro

Maritim Malaysia Kelantan mengenal pasti 18 lokasi di negeri itu yang didakwa menjadi laluan serta tempat pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI). Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata lokasi terbabit merangkumi daerah Tumpat, Pasir Mas dan Kota Bharu, dan dapatan ini diharap dapat membantu pihaknya mengekang kemasukan PATI melalui negeri itu. Antara lokasi panas yang dikenal pasti termasuk Pulau Tengkorak, Sungai Ular, Pantai Geting, Pantai Tujoh, Kuala Tumpat, Pasir Pekan, Kok Keli, Pulau Pisang, Kijang, Kampung Sireh dan Tendong.

Kamal berkata beberapa kampung di kepulauan Tumpat juga dikesan menjadi lokasi transit penyeludupan PATI, namun bot Maritim Malaysia tidak sentiasa boleh memasuki laluan sungai di kawasan itu disebabkan sempit. Beliau menegaskan anggota pasukan bersedia di laluan sekitar kawasan lain bagi memastikan tindakan lanjut boleh diambil jika berlaku penempatan PATI. Beliau mengulas perkara itu ketika rondaan di perairan Tumpat sebelum memasuki Sungai Kelantan bagi meninjau laluan digunakan untuk membawa masuk PATI hingga individu berkenaan dibawa ke stesen bas di Lembah Sireh, Kota Bharu.

Dalam pada itu, Kamal berkata sejak 2023 sehingga November ini, Maritim Kelantan merekodkan 46 kes dengan 348 tangkapan membabitkan pelbagai warganegara. Katanya, warganegara Myanmar mencatatkan jumlah tertinggi dengan 169 orang, diikuti Vietnam (61), Thailand (42), Kemboja (18), Indonesia (14), Bangladesh (14), India (11), Laos (2) serta seorang warganegara Sri Lanka. Siasatan mendapati modus operandi termasuk masuk melalui jalan darat ke Thailand dan seterusnya ke Tak Bai, manakala PATI Indonesia kebanyakannya adalah individu disenaraikan hitam memasuki Malaysia dan menaiki pesawat dari Singapura menuju Thailand, sebelum masuk ke negara ini dengan kawasan pendaratan berubah-ubah di sepanjang Sungai Kelantan.