16 regu bakal berentap merebut Grand Final Mekdi 2026 dengan hadiah RM10,000

Kuala Lumpur menjadi tapak kejohanan Grand Final Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 bagi kategori remaja bawah 16 tahun (B-16) yang akan berlangsung pada 28 dan 29 November di Akademi Sepaktakraw Malaysia. Sebanyak 16 regu layak berentap untuk merebut gelaran juara kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000, ganjaran tertinggi pernah ditawarkan untuk kejohanan bawah umur di negara ini.
Menurut Penolong Setiausaha Agung I Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) merangkap Pengarah Teknikal Kejohanan, Yusoff Ali, RM10,000 dianggap satu pencapaian sejarah dalam penganjuran kejohanan sepak takraw peringkat remaja khususnya B-16. “RM10,000 ini saya rasa hadiah paling tinggi pernah ditawarkan untuk kejohanan bawah umur, khususnya kategori B-16. Sebelum ini RM5,000 pun belum pernah ditawarkan dan kebiasaannya hadiah sekitar RM3,000 sahaja,” katanya. Beliau turut menambah bahawa dalam sejarah kejohanan remaja termasuk B-18, jumlah hadiah lazimnya sekitar RM3,000 atau RM2,000, menjadikan perkembangan kali ini sebagai satu kemajuan positif untuk sepak takraw remaja negara.
Selain hadiah utama, juara akan membawa pulang trofi, pingat serta baucar McDonald’s bernilai RM500, manakala naib juara menerima pingat dan baucar dengan nilai sama. Dua pasukan yang berkongsi tempat ketiga pula tidak pulang kosong apabila masing-masing menerima pingat dan baucar RM500 daripada McDonald’s. Pengiktirafan turut diberikan kepada pemain terbaik bagi tiga posisi iaitu tekong, apit kanan dan apit kiri; setiap pemenang bakal menerima RM1,000 beserta baucar McDonald’s RM100.
Dalam perkembangan berhubung prosedur kejohanan, Yusoff berkata proses undian kumpulan Grand Final akan memberi kelebihan kepada juara setiap zon kerana mereka akan ditempatkan sebagai pasukan pilihan. “Johan zon akan diasingkan bagi mengelakkan pertembungan sesama mereka dalam kumpulan sama, manakala pasukan lain akan ditentukan menerusi undian,” ujar beliau. Beliau menjelaskan johan setiap zon akan diletakkan dalam kumpulan A, B, C dan D, manakala baki pasukan lain melalui proses undian untuk menentukan kumpulan masing-masing.
Berdasarkan pembahagian zon, jumlah penyertaan terdiri daripada Zon Utara, Zon Tengah dan Zon Timur. Zon Utara dan Zon Tengah masing-masing membabitkan empat wakil, manakala Zon Timur mempunyai lapan pasukan. Antara regu yang layak adalah ALFA Cafe MIBJ D (juara Zon Utara) yang mengetuai cabaran zon itu bersama naib juara Highlander A, SSTMI B, dan Perak JR. Zon Tengah menyaksikan kehadiran juara New Impact B, naib juara SSMT JR C serta MBPG dan Warisan B. Zon Timur diwakili juara SSMT EC Smurf B, naib juara SSMT E, Young Turtles A, SSMT H, SSBJ B, ALFA ZAFE Z, New Impact 29 C dan MSP B. Ketika ini, tarikh serta atur cara rasmi kejohanan akan diputuskan sepenuhnya oleh pihak penganjur.