Empat pendermaan organ hasilkan 16 pemindahan dalam lima hari

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 pemindahan organ berjaya dilaksanakan di seluruh negara dalam tempoh lima hari susulan empat pendermaan organ, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi hantaran di laman X hari ini.
Beliau berkata, pendermaan berkenaan dilakukan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Hospital Melaka, Hospital Shah Alam dan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Hasilnya, lapan pemindahan buah pinggang dilaksanakan, masing-masing empat di Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur.
Pemindahan lain terdiri daripada tiga pemindahan hati, satu pemindahan jantung dan empat pemindahan kornea. Dzulkefly berkata, pengorbanan penderma serta keluarga mereka memberikan peluang kehidupan kedua kepada pesakit yang memerlukan.
“Setinggi-tinggi penghormatan serta ucapan takziah saya titipkan buat para penderma dan keluarga. Keberanian kalian membuat keputusan paling mulia di saat berduka telah memberi peluang kehidupan kedua buat insan-insan lain yang memerlukan,” katanya.
Beliau turut menyeru pengikrar penderma organ supaya memaklumkan hasrat mereka kepada ahli keluarga. Katanya, kefahaman dan persetujuan waris merupakan kunci utama untuk menyempurnakan amanah itu.
Dzulkefly juga merakamkan penghargaan kepada warga kerja kesihatan di Pusat Transplan Nasional dan pasukan pemindahan organ di hospital terbabit. Penghargaan itu merangkumi pakar bedah, pasukan anestesiologi, penyelaras transplan, jururawat, ahli farmasi serta pasukan sokongan.
Kementerian Kesihatan kekal komited memperkukuh dan memperluas perkhidmatan pemindahan organ di seluruh negara. Usaha itu termasuk penubuhan Majlis Transplan Kebangsaan, yang mengadakan mesyuarat pertamanya pada 2 November lepas.