16 pemindahan organ dan tisu susulan sumbangan empat penderma

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 pemindahan organ dan tisu berjaya dilakukan di seluruh negara dalam tempoh lima hari susulan sumbangan daripada empat penderma yang disahkan mati otak, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata sumbangan itu membabitkan Hospital Universiti Sains Malaysia, Hospital Melaka, Hospital Shah Alam dan Hospital Sultanah Aminah di Johor Baru. Sumbangan berkenaan membolehkan lapan pemindahan buah pinggang, tiga pemindahan hati, satu pemindahan jantung dan empat pemindahan kornea dilakukan.
Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur masing-masing melaksanakan empat pemindahan buah pinggang. Dzulkefly berkata kemurahan hati penderma serta keluarga mereka memberi peluang kedua kepada pesakit yang memerlukan.
Dalam hantaran di X, beliau menyampaikan penghormatan dan ucapan takziah kepada penderma serta keluarga mereka. Beliau berkata keputusan menderma organ ketika berdepan kesedihan telah membantu memberi peluang hidup kepada orang lain.
Dzulkefly turut menggesa mereka yang sudah berikrar untuk menderma organ supaya memaklumkan hasrat itu kepada keluarga masing-masing. Beliau juga berterima kasih kepada petugas kesihatan di Pusat Transplan Kebangsaan (NTC) dan pasukan pemindahan di hospital terbabit, termasuk pakar bedah, pasukan anestesiologi, penyelaras pemindahan, jururawat, ahli farmasi serta kakitangan sokongan.
Katanya, Kementerian Kesihatan kekal komited memperkukuh dan memperluas perkhidmatan pemindahan organ di seluruh negara menerusi penubuhan Majlis Transplan Kebangsaan. Majlis itu mengadakan mesyuarat sulung pada 2 Nov.