1,680 mangsa banjir masih berlindung di 18 PPS

KUALA LUMPUR: Seramai 1,680 mangsa daripada 489 keluarga masih ditempatkan di 18 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri setakat 2 petang hari ini, menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 1,217 mangsa daripada 342 keluarga di sembilan PPS. Perak pula menempatkan 244 mangsa daripada 74 keluarga di lima PPS, manakala Terengganu merekodkan 134 mangsa daripada 42 keluarga di sebuah PPS.
Di Sarawak, seramai 51 mangsa daripada 17 keluarga berlindung di dua PPS. Sabah pula mencatatkan 34 mangsa daripada 14 keluarga di sebuah PPS.
Pecahan mangsa terdiri daripada 546 perempuan dewasa, 537 lelaki dewasa, 301 kanak-kanak lelaki, 264 kanak-kanak perempuan, 21 bayi lelaki dan 12 bayi perempuan. Turut terjejas ialah 109 warga emas lelaki, 103 warga emas perempuan, 21 lelaki orang kurang upaya (OKU) dan 13 perempuan OKU.
Di Kuala Selangor, PPS Sekolah Kebangsaan Dato' Maharaja Lela, yang dibuka sejak 5 November lalu, mencapai 481.25 peratus kapasiti dengan menempatkan 385 mangsa daripada 98 keluarga. Sekolah Rendah Agama Pasangan di daerah sama pula mencapai 144 peratus kapasiti, dengan 144 mangsa daripada 46 keluarga.
Sementara itu, PPS Dewan Serbaguna Tok Jembal di daerah Kuala Nerus mencatatkan kapasiti 67 peratus, menempatkan 134 mangsa daripada 42 keluarga.