Ketidakhadiran murid di Jepun cecah rekod 359,424 pada 2025
TOKYO, 26 Nov (Bernama-Kyodo) -- Seramai 359,424 murid sekolah rendah, menengah rendah dan sekolah pendidikan khas di seluruh Jepun tidak hadir ke sekolah selama sekurang-kurangnya 30 hari pada tahun akademik 2025, menurut tinjauan kerajaan yang dikeluarkan pada Khamis. Angka itu meningkat untuk tahun ke-13 berturut-turut.
Jumlah bagi tahun akademik yang berakhir pada Mac 2026 itu naik 1.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, berdasarkan data Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi. Murid berkenaan merangkumi 2.4 peratus daripada populasi pelajar sekolah rendah dan 6.9 peratus daripada populasi pelajar sekolah menengah rendah.
Seorang pegawai kementerian mengaitkan peningkatan itu sebahagiannya dengan perubahan pemikiran penjaga. Menurutnya, semakin ramai berpendapat murid tidak sepatutnya dipaksa hadir ke sekolah jika mereka berasa bimbang tentang persekitaran sekolah atau menghadapi kesukaran dalam kehidupan peribadi.
Bilangan murid yang enggan ke sekolah meningkat 2.4 peratus di sekolah rendah kepada 140,946 orang, manakala jumlah di sekolah menengah rendah naik 0.2 peratus kepada 216,762 orang. Di sekolah pendidikan khas, bilangannya bertambah 19.9 peratus kepada 1,716 orang.
Bagaimanapun, kadar kenaikan ketidakhadiran itu lebih perlahan berbanding peningkatan 15.8 peratus pada tahun fiskal 2023 dan 2.2 peratus pada tahun fiskal 2024, masing-masing berbanding tahun sebelumnya.
Tinjauan itu turut merekodkan 791,784 kes buli, termasuk di sekolah menengah, iaitu kenaikan 3.0 peratus daripada tahun sebelumnya dan jumlah tertinggi setakat ini. Pecahan yang dibuat buat kali pertama menunjukkan 8,158 kes melibatkan salah laku seksual, rakaman atau fotografi, serta sentuhan.
Kes buli yang dikategorikan sebagai “situasi serius” kerana menyebabkan kecederaan fizikal atau mental, atau ketidakhadiran berpanjangan, turut mencapai rekod tertinggi, iaitu 1,798 kes. Jumlah itu meningkat 394 kes berbanding setahun sebelumnya. Daripada kes berkenaan, 628 atau 34.9 peratus tidak dikenal pasti sebagai buli sehingga murid terbabit mengalami kemudaratan serius.
Mengikut peringkat sekolah, sebanyak 620,774 kes buli dilaporkan di sekolah rendah, 146,217 di sekolah menengah rendah, 20,570 di sekolah menengah dan 4,223 di sekolah pendidikan khas. Kes berlaku di 85.1 peratus daripada semua sekolah, manakala 74.1 peratus menganggap isu itu selesai. Kadar penyelesaian itu turun 2.0 mata peratusan berbanding tahun sebelumnya.
Bagi menangani peningkatan berterusan ketidakhadiran murid, Majlis Pusat Pendidikan sedang meneliti pelaksanaan kurikulum baharu yang membolehkan rancangan pembelajaran disesuaikan mengikut individu serta penilaian murid yang lebih fleksibel.