400,000 tetamu hadiri majlis perkahwinan anak ahli politik di Bihar

Sumber: Harian Metro
400,000 tetamu hadiri majlis perkahwinan anak ahli politik di Bihar
Gambar: Harian Metro

PATNA: Kira-kira 400,000 tetamu menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan ahli politik Bihar, Anant Singh, di kampung Nadawa, Rabu lalu. Sambutan besar-besaran itu meraikan perkahwinan Shivangi Singh dengan Rishikesh Kumar, penuntut sarjana pentadbiran perniagaan (MBA) di Universiti Negeri Georgia, Atlanta.

Majlis diadakan di kediaman keluarga Singh dengan menggunakan kawasan seluas 2.5 hektar. Jumlah kehadiran itu dianggap luar biasa besar meskipun India terkenal dengan majlis perkahwinan mewah.

Menurut orang kepercayaan Singh, Munna Singh, tetamu dihidangkan 500,000 biji manisan tradisional. Jamuan disediakan oleh kira-kira 500 cef dan tukang masak, manakala satu tan daging kambing digunakan untuk menyediakan kebab serta kari, lapor AFP.

Enam tapak pendaratan helikopter sementara dibina untuk menyambut tetamu kenamaan dari seluruh India. Pengantin lelaki tiba dengan memakai cermin mata hitam sambil melambaikan selendang jingga, diiringi konvoi 151 kereta. Dalam budaya Hindu, angka ganjil dianggap membawa tuah.

Antara hadiah untuk Kumar ialah kenderaan utiliti sukan (SUV) Land Rover Defender. Tetamu turut disajikan hiasan bunga yang menggunakan bunga-bungaan import dari China serta pertunjukan bunga api.

Jalan menuju ke lokasi majlis mengalami kesesakan teruk. Menurut The Times of India, seorang tetamu dilaporkan menaiki traktor dan meredah kawasan sawah untuk mengelak kesesakan.

Singh turut merancang mengadakan perlumbaan kuda, namun acara itu dibatalkan pada saat akhir kerana keadaan terlalu sesak dan tidak terkawal. Orang ramai yang hadir tanpa jemputan dilaporkan memanjat pokok dan menara elektrik untuk menyaksikannya, manakala SUV yang sepatutnya menjadi hadiah kepada pemenang kekal di lokasi majlis.

Singh, yang lima kali dipilih sebagai anggota Dewan Undangan Negeri Bihar, berdepan 28 kes jenayah yang masih dalam proses perbicaraan. Kes itu termasuk pembunuhan, cubaan membunuh, pemerasan dan penculikan, menurut senarai di laman web Persatuan bagi Pembaharuan Demokratik (ADR), pertubuhan bukan kerajaan yang berusaha meningkatkan tadbir urus dan memperkukuh demokrasi. Bagaimanapun, Singh menafikan melakukan sebarang kesalahan.

Dalam wawancara televisyen sebelum majlis, Singh menolak tanggapan bahawa persiapan perkahwinan itu luar biasa besar dan berkata beliau turut mengadakan majlis berskala sama untuk anak perempuan sulungnya.

Kemewahan sambutan itu mengingatkan kepada majlis perkahwinan Anant, anak bilionair India Mukesh Ambani, pada 2024. Sambutan yang berlangsung selama beberapa bulan itu dianggarkan menelan kos sekurang-kurangnya AS$600 juta (kira-kira RM2.47 bilion), dengan pemimpin dunia dan selebriti turut hadir.

Musim perkahwinan di India baru bermula, dengan kira-kira 5.2 juta majlis dijangka berlangsung di seluruh negara dari sekarang hingga 15 Disember.