Star City FC wajib buru tiga mata ketika menentang KL City

KANGAR: Star City FC tidak boleh kehilangan mata apabila menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis, pada 29 November ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Star City FC, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan berkata, kemenangan penting untuk membantu skuad kendalian Mehmet Durakovic memperbaiki kedudukan mereka yang kini di tangga kelapan liga.
Katanya, selepas seri dengan Melaka FC di Stadium Hang Jebat minggu lalu, tumpuan pasukan kini sepenuhnya kepada perlawanan menentang KL City yang dianggap peluang untuk meraih tiga mata.
“Kita tidak boleh terus kehilangan mata atau sekadar berkongsi mata, khususnya apabila beraksi di laman sendiri. Kemenangan dan tiga mata penuh amat diperlukan untuk melonjakkan kedudukan pasukan dalam kelompok terbaik liga,” katanya.
Syed Mahadi berkata barisan kejurulatihan dan pemain perlu memberi perhatian kepada kelemahan yang dikenal pasti dalam perlawanan terdahulu, terutama aspek penyudah dan penguasaan permainan sepanjang 90 minit.
Beliau tetap yakin Durakovic mampu memastikan persiapan dan perancangan pasukan diterjemahkan kepada persembahan yang lebih berkualiti, berdisiplin dan berkesan.
“KL City bukan lawan mudah kerana mereka juga mempunyai kemampuan tersendiri. Namun, kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Kita perlu tampil lebih berani dan agresif untuk mendapatkan kemenangan,” katanya.
Beliau turut menyeru penyokong Star City, khususnya kelompok The Northern Stars, supaya memenuhi stadium bagi memberikan sokongan kepada pasukan. Menurutnya, kehadiran dan sorakan mereka boleh menjadi suntikan semangat kepada pemain.
“Bagi saya, bermain di laman sendiri bukan sekadar satu kelebihan, tetapi sekurang-kurangnya satu tanggungjawab untuk menghadiahkan kemenangan kepada penyokong. Kita mesti turun dengan satu tekad, satu matlamat dan satu misi untuk mendapatkan tiga mata penuh,” katanya.