Anwar di tempat kelapan pemimpin paling berpengaruh di Asia
KUALA LUMPUR, 26 Nov — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menduduki tempat kelapan dalam senarai pemimpin politik paling berpengaruh di Asia menerusi Asia Power Index 2026 yang diterbitkan Lowy Institute.
Anwar memperoleh 46 mata, menurut hantaran di laman Facebook ABC Asia Australia. Beliau turut menjadi antara tiga pemimpin ASEAN dalam senarai berkenaan.
Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, berada di tempat ketiga dengan 74 mata, manakala Presiden Vietnam, To Lam, menduduki tangga ketujuh dengan 50 mata.
Presiden China, Xi Jinping, mendahului kedudukan dengan skor penuh 100 daripada 100 bagi keberkesanan diplomatik global. Perdana Menteri India, Narendra Modi, pula berada di tempat kedua.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, dan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima. Presiden Korea Selatan, Lee Jae-Myung, berada di tangga keenam.
Kedudukan kepimpinan politik itu disusun oleh Lowy Institute, sebuah badan pemikir Australia, berdasarkan tinjauan pakar yang menilai keberkesanan pemimpin dalam memajukan kepentingan diplomatik negara masing-masing di peringkat global.
Senarai kepimpinan politik berkenaan merupakan sebahagian daripada Asia Power Index yang lebih luas, yang mengukur kuasa dan pengaruh 27 negara serta wilayah di rantau ini.