Yap beri kerjasama kepada SPRM berhubung isu tanah KLSCAH

Sumber: Harian Metro
Yap beri kerjasama kepada SPRM berhubung isu tanah KLSCAH
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, Yap Yee Vonne, hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini untuk merakamkan percakapan bagi membantu siasatan berhubung lanjutan tempoh pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Yap berkata, beliau memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang proses itu dan sedia berkongsi maklumat atau memberikan penjelasan tambahan jika diperlukan. Beliau menegaskan, “Kami tidak melakukan sebarang kesalahan dan tiada apa yang perlu disembunyikan atau ditakuti.”

Menurutnya, seperti yang dijelaskan Hannah secara terbuka dan menyeluruh di Dewan Rakyat, keputusan berkaitan perkara itu dibuat selepas mengambil kira semua pertimbangan serta mengikut prosedur yang ditetapkan.

Yap turut merakamkan penghargaan kepada pegawai SPRM atas profesionalisme mereka ketika merakamkan percakapannya. Katanya, pihaknya memahami pegawai berkenaan hanya menjalankan tugas dan menghormati peranan suruhanjaya itu dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Bagaimanapun, Yap berkata SPRM seharusnya menumpukan perhatian kepada isu lain yang lebih mendesak dan mempunyai kepentingan lebih besar kepada masyarakat.

Beliau berkata KLSCAH ialah institusi warisan yang mempunyai kepentingan sejarah dan kebudayaan, justeru wajar menerima sokongan serta perlindungan bersama dan tidak terus dibelenggu kontroversi.