Istana Seri Menanti tumpuan istiadat angkat sumpah EXCO Negeri Sembilan

KUALA PILAH: Istana Seri Menanti di sini menjadi tumpuan hari ini menjelang istiadat mengangkat sumpah jawatan dan menyimpan rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan.
Istiadat yang dijadualkan bermula jam 10 pagi itu akan berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Pembentukan barisan EXCO baharu bagi mengisi portfolio pentadbiran kerajaan negeri dijangka menjadi perhatian.
Majlis berkenaan turut menandakan permulaan tanggungjawab barisan EXCO dalam membantu Menteri Besar menerajui pentadbiran dan pembangunan negeri.
Tinjauan mendapati petugas media mula memasuki pekarangan istana untuk membuat liputan istiadat itu. Beberapa anggota polis pula berkawal di pintu 2 istana dan memeriksa tetamu serta petugas yang dibenarkan menghadiri majlis.
Menteri Besar Datuk Ismail Lasim dan barisan EXCO yang bakal mengangkat sumpah dijangka tiba pada jam 9.40 pagi.