Abdul Gani Patail meninggal dunia, tinggalkan legasi kes berprofil tinggi

Sumber: Harian Metro
Abdul Gani Patail meninggal dunia, tinggalkan legasi kes berprofil tinggi
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, yang mengendalikan beberapa pendakwaan berprofil tinggi sepanjang kerjaya lebih tiga dekad dalam bidang perundangan, meninggal dunia di sebuah hospital swasta malam ini akibat jangkitan.

Berita pemergian Allahyarham disahkan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, yang turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga. “Seluruh warga Jabatan Peguam Negara (AGC) mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT,” katanya ketika dihubungi.

Anak kelahiran Lahad Datu, Sabah itu pernah terbabit dalam pendakwaan kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Joseph Pairin Kitingan pada 1993 serta kes kumpulan pemberontak Al-Ma'unah pada 2000. Beliau juga menjadi sebahagian daripada pasukan pendakwaan dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Antara kes lain yang dikendalikannya ialah pendakwaan terhadap bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik. Beliau berdepan pertuduhan menipu Kerajaan Malaysia berhubung skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), berkaitan pembelian tanah di Pulau Indah yang melibatkan RM1.08 billion pada 2010.

Abdul Gani turut mengendalikan pendakwaan terhadap bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo berhubung kesalahan rasuah berkaitan pembelian hartanah. Beliau juga mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes bekas Pengarah Urusan Perwaja Rolling Mill and Development Sdn Bhd Tan Sri Eric Chia Eng Hock, yang dituduh melakukan pecah amanah jenayah membabitkan RM76.4 juta.

Selain itu, beliau mengendalikan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam. Pada 2013, Abdul Gani mengetuai pasukan pendakwaan membabitkan 30 individu, termasuk warga Filipina, yang didakwa melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong serta terbabit dalam pelbagai kegiatan keganasan di Lahad Datu.

Dilahirkan pada 6 Oktober 1955, Abdul Gani memulakan kerjaya dalam bidang kehakiman pada 1980 sebelum berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara, Tawau, Sabah. Beliau merupakan rakyat Sabah pertama memegang jawatan itu selepas pejabat Peguam Negara Persekutuan ditubuhkan di negeri berkenaan.

Beliau kemudian memegang beberapa jawatan penting, termasuk Ketua Jabatan Pendakwaan Sabah pada 1991 dan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara dari 16 Januari hingga 14 Oktober 1994. Dari 1 April 1995 hingga 31 Mei 1997, beliau menjadi Ketua dan Penasihat Bahagian Antarabangsa.

Abdul Gani dilantik sebagai Pesuruhjaya Penyemak Undang-Undang dari 1997 hingga 2000, sebelum kembali menerajui Ketua Bahagian Pendakwaan pada 1 Februari 2000. Pada 19 November 2001, beliau dilantik sebagai Peguam Negara kelapan dan mula memegang jawatan itu secara rasmi pada 1 Januari 2002.

Pelantikan itu menjadikan beliau graduan undang-undang tempatan pertama yang memegang jawatan berkenaan, selain rakyat Sabah pertama menduduki antara jawatan tertinggi dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan. Beliau menerajui institusi perundangan tertinggi negara selama lebih 13 tahun, dari 2002 hingga 2015.

Perkhidmatannya sebagai Peguam Negara ditamatkan berkuat kuasa 27 Julai 2015 atas faktor kesihatan. Bagaimanapun, beliau kekal sebagai pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sehingga mencapai umur persaraan wajib pada 6 Oktober 2015.

Allahyarham turut menyumbang kepakaran dalam beberapa tanggungjawab lain, termasuk sebagai ahli Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Beliau pernah menjadi Profesor Adjung di Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) selama dua tahun bermula 1 Oktober 2011, selain memegang jawatan Pengerusi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Pada 23 Disember 2016, Abdul Gani diterima masuk sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya.