Petani babi Tanjong Sepat dibimbing beralih kepada kegiatan pertanian lain

PUTRAJAYA: Petani babi di Tanjong Sepat akan dibimbing melalui proses peralihan berstruktur kepada kegiatan pertanian lain yang lebih mampan dan berdaya maju bagi memastikan kesinambungan pendapatan mereka, menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan hari ini.
Dalam kenyataan, kementerian berkata bidang yang dikenal pasti untuk diterokai termasuk penternakan lembu dan ruminan kecil, pertanian moden, tanaman kontan bernilai tinggi serta perusahaan akuakultur.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi sesi libat urus di bawah Program Peralihan Petani Babi Tanjong Sepat yang diadakan di Putrajaya semalam. Menurut kementerian, peserta akan dibimbing menerusi proses tersusun bagi mengurangkan risiko ketika beralih ke subsektor pertanian atau perniagaan lain.
Kementerian berkata usaha itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk menjaga kebajikan pengusaha agromakanan, di samping memacu pembangunan sektor berkenaan secara mampan. Ia juga mengambil kira cabaran yang dihadapi pemain industri.
Kementerian yakin inisiatif peralihan itu dapat membuka peluang baharu bagi kelestarian ekonomi petani terbabit, selain memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat dan ekosistem makanan negara.
Usaha itu turut selari dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030.
Program berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin. Ia turut merangkumi sesi perkongsian maklumat dan khidmat nasihat teknikal secara langsung oleh kementerian serta jabatan dan agensi berkaitan.
Antara yang terlibat ialah Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Lembaga Pertubuhan Peladang, Agrobank dan Bioeconomy Corporation.