Takaful Malaysia raih hasil RM3.14 bilion dalam sembilan bulan

KUALA LUMPUR: Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) merekodkan hasil takaful RM3.14 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9B TK2026), meningkat 14 peratus daripada RM2.75 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Keuntungan sebelum zakat dan cukai kumpulan meningkat enam peratus kepada RM497.8 juta, manakala keuntungan bersih naik lapan peratus tahun ke tahun. Bagi suku ketiga, keuntungan bersih mencecah RM129 juta, meningkat 12 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya dan menjadi keuntungan suku tahunan tertinggi syarikat dalam tempoh lima tahun.
Hasil takaful suku ketiga turut melonjak 28 peratus kepada RM1.16 bilion daripada RM902.8 juta. Peningkatan itu didorong pelepasan keuntungan sumbangan jangka pendek yang lebih tinggi dalam perniagaan takaful am dan manfaat pekerja, selain caj perlindungan lebih tinggi.
Susulan prestasi itu, Takaful Malaysia mengisytiharkan dividen interim 20.5 sen sesaham, tertinggi dalam tempoh 10 tahun dan mengatasi rekod 20 sen sesaham pada 2019. Dividen itu 11 peratus lebih tinggi berbanding 18.5 sen sesaham tahun lalu, dengan hasil dividen melebihi enam peratus kepada pemegang saham.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, pencapaian berkenaan mencerminkan kekuatan perniagaan teras serta pelaksanaan strategi berdisiplin untuk menjana nilai jangka panjang.
Perniagaan takaful keluarga mencatat kenaikan hasil 14 peratus kepada RM1.85 bilion, manakala takaful am berkembang 17 peratus kepada RM1.23 bilion, disokong sumbangan kukuh segmen motor dan kebakaran.
“Keutamaan kami tetap jelas untuk memperkukuh daya saing dan menjana pertumbuhan mampan walaupun industri berdepan ketidaktentuan luaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nor Azman berkata peluasan saluran pengedaran turut memberi hasil positif apabila perniagaan runcit takaful keluarga berasaskan caruman berkala berkembang melebihi 30 peratus. Kumpulan juga memperkukuh saluran langsung melalui platform digital Kaotim dan rangkaian cawangan.
Takaful Malaysia merancang memperkenalkan produk perlindungan perubatan mampu milik MediAsas pada awal 2027. Kumpulan akan terus memanfaatkan kekuatan dalam segmen bankatakaful, takaful am dan pengedaran langsung bagi memastikan pertumbuhan kekal menguntungkan.