Steven Sim kenang A Samad Said melalui puisi berjudul karya sasterawan itu

Sumber: Astro Awani
Steven Sim kenang A Samad Said melalui puisi berjudul karya sasterawan itu
Gambar: Astro Awani

SHAH ALAM: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, memberi penghormatan kepada Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri A Samad Said, dengan berkongsi puisi yang menggabungkan judul karya tokoh kesusasteraan itu menerusi Facebook malam tadi.

Steven berkata, rangkap pertama puisi berkenaan dikarang pada 2015, ketika Allahyarham yang mesra disapa Pak Samad menyertai DAP. Empat rangkap selebihnya pula dihasilkan pada 2017.

“Terima kasih Pak Samad kerana mengajar bukan sahaja dengan kata-kata malah mengajar dengan teladan jiwa hidupmu bahawa sastera dan siasah berpisah tiada.

“Semoga tenang di sana Bapak,” katanya dalam hantaran itu.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu turut memuat naik gambar kenangan bersama Allahyarham. Puisi lima rangkap yang dikongsikannya menyelitkan beberapa judul karya A Samad Said, antaranya *Langit Petang*, *Suara Rasa*, *Daun Berguguran* dan *Wira Bukit*.

Negara kehilangan tokoh kesusasteraan itu pada Selasa apabila beliau menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.10 petang di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada usia 91 tahun. Allahyarham dimasukkan ke hospital pada petang Isnin akibat sakit tua dan turut menghidap diabetes.

Dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, A Samad Said diangkat sebagai Sasterawan Negara keempat pada 1985. Sepanjang kerjaya penulisannya, beliau menghasilkan novel, puisi, drama, cerpen dan esei.

Antara karya terkenal beliau ialah *Salina*, *Sungai Mengalir Lesu*, *Di Hadapan Pulau*, *Langit Petang*, *Hujan Pagi* dan *Lantai T. Pinkie*. *Salina* diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa, termasuk bahasa Inggeris dan Perancis, manakala beberapa karya lain diadaptasi ke pentas teater dan drama.

Sumbangan Allahyarham turut diiktiraf melalui Anugerah Pejuang Sastera pada 1976, SEA Write Award pada 1979 dan Anugerah Sastera Negara pada 1985. Beliau juga menerima Darjah Kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk pada 1997.