SPRM nafi dakwaan amalan ‘dua darjat’ dalam siasatan

Sumber: Harian Metro
SPRM nafi dakwaan amalan ‘dua darjat’ dalam siasatan
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menafikan dakwaan Penasihat DAP, Lim Guan Eng, bahawa agensi itu mengamalkan sikap ‘dua darjat’ dalam siasatan.

Dalam kenyataan, SPRM menyifatkan dakwaan itu tidak berasas dan tidak menggambarkan prinsip profesionalisme, integriti serta tatacara kerja yang menjadi panduan dalam setiap siasatan.

Menurutnya, siasatan berhubung isu perbelanjaan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) yang melibatkan sebuah kementerian dimulakan pada 7 Oktober 2026. Setakat ini, percakapan 20 saksi daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan sudah dirakam bagi membantu siasatan.

SPRM berkata siasatan masih berjalan dan pihaknya sedang meneliti maklumat serta keterangan yang diperoleh untuk memastikan semua aspek berkaitan perkara itu disiasat secara menyeluruh.

Terdahulu, Guan Eng dalam hantaran di Facebook mendakwa SPRM bertindak pantas berhubung kontroversi pelanjutan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), tetapi tidak mengambil tindakan sama terhadap perbelanjaan kementerian yang diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau mempersoalkan perbelanjaan kementerian itu yang didakwa melebihi peruntukan belanjawan diluluskan.

Mengulas kritikan berkenaan, SPRM berkata pihaknya menghormati hak individu atau mana-mana pihak untuk menyuarakan pandangan, kritikan dan teguran, namun perkara itu perlu dilakukan berlandaskan fakta dan secara bertanggungjawab.

Agensi itu menegaskan semua siasatan dijalankan berdasarkan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang, tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang individu. SPRM juga menyatakan komitmennya untuk bertindak secara profesional, bebas, adil dan telus bagi memelihara kedaulatan undang-undang.