Empat kelab EPL sediakan tuntutan ganti rugi terhadap City

Sumber: Harian Metro
Empat kelab EPL sediakan tuntutan ganti rugi terhadap City
Gambar: Harian Metro

LONDON: Manchester United, Liverpool dan Tottenham mendapatkan khidmat firma guaman Wiggin untuk menyediakan tuntutan terhadap Manchester City berhubung dakwaan pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL), yang berpotensi bernilai ratusan juta pound. Arsenal pula menggunakan peguam tetapnya, HFS Kramer, bagi menyediakan tuntutan berasingan.

Ketiga-tiga kelab itu menggunakan Wiggin, firma pakar media, hiburan dan teknologi yang berpangkalan di London. Sumber yang mengetahui kes berkenaan berkata terdapat kerjasama tertentu antara kelab yang diwakili firma itu, termasuk pelantikan penganalisis sama untuk menilai potensi kerugian yang didakwa berpunca daripada pelanggaran peraturan oleh City.

Bagaimanapun, setiap kelab akan mengemukakan tuntutan ganti rugi secara berasingan. Menurut sumber itu, punca utama kerugian mungkin sama, tetapi jumlah ganti rugi yang dituntut berbeza. Sumber lain berkata Tottenham mula mendapatkan khidmat Wiggin ketika Daniel Levy masih menjadi pengerusi kelab berkenaan.

Tottenham ialah kelab pertama yang mengambil tindakan undang-undang terhadap City selepas kelab itu didakwa melanggar peraturan kewangan pada Februari 2023. Manchester United dan Liverpool kemudian mengikut langkah sama.

Pada November 2024, keempat-empat kelab itu mengemukakan notis undang-undang bagi mengekalkan hak untuk menuntut pampasan daripada City. Langkah itu bertujuan mengelakkan tuntutan mereka ditolak atas alasan tamat tempoh had masa.

Tempoh had masa bagi tuntutan pelanggaran kontrak biasa ialah enam tahun dari tarikh dakwaan berkenaan didedahkan kepada umum. Dakwaan terhadap City mula diterbitkan majalah berita Jerman, Der Spiegel, pada November 2018.

City menggunakan mekanisme had masa pada 2020 untuk membatalkan penggantungan dua tahun daripada Liga Juara-Juara (UCL) yang dikenakan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) berhubung dakwaan kesalahan serupa. Susulan itu, empat lagi anggota kelompok enam kelab utama EPL mengambil langkah untuk mengekalkan hak mereka mengemukakan tuntutan.