Tiada dana khas kerajaan untuk PIBG sekolah bawah KPM

Sumber: Harian Metro
Tiada dana khas kerajaan untuk PIBG sekolah bawah KPM
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Kerajaan setakat ini belum meluluskan peruntukan khusus kepada Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai dana khas untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah bawah kementerian itu, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, peruntukan tahunan yang diluluskan kepada KPM pada asasnya digunakan untuk membiayai pengoperasian sekolah dan pelaksanaan aktiviti murid. Kenyataan itu dibuat dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Fadhlina menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mengenai kesediaan KPM mewujudkan peruntukan khusus tahunan yang disalurkan terus kepada PIBG di setiap sekolah, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menurutnya, KPM sentiasa komited memastikan kemenjadian murid dicapai menerusi kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa dan komuniti. PIBG yang ditubuhkan di bawah Peraturan-peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa-Guru) 1998, katanya, memainkan peranan penting menyokong guru dan pihak sekolah.

Antara usaha yang boleh dilaksanakan PIBG ialah membiayai kelas tambahan, menyediakan modul latihan dan menyokong aktiviti kokurikulum. Fadhlina berkata, inisiatif berkenaan dapat membantu meningkatkan prestasi akademik serta sahsiah murid, di samping meringankan beban guru supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP).

PIBG juga boleh membantu menyediakan kemudahan dan prasarana sekolah, termasuk peralatan PdP seperti papan pintar, katanya.

Peranan itu turut disokong inisiatif Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS), yang menggalakkan kerjasama dengan komuniti, pertubuhan bukan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta.

Melalui PIBKS, aspek keselamatan fizikal, psikologi dan digital murid turut diberi perhatian bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan sejahtera, kata Fadhlina.