Acosta teruja mulakan tugas bersama Ducati, berkongsi garaj dengan Marquez

Sumber: Harian Metro
Acosta teruja mulakan tugas bersama Ducati, berkongsi garaj dengan Marquez
Gambar: Harian Metro

PARIS: Pedro Acosta tidak sabar menamatkan saingan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Valencia dan memulakan tugas bersama Ducati minggu depan, selain berkongsi garaj dengan Marc Marquez.

Acosta berkata beliau mahu mendekati cabaran baharu itu secara berperingkat, bermula dengan menyesuaikan diri dengan pasukan dan suasana di pasukan kilang. Beliau turut menegaskan tekanan untuk memimpin projek dan pasukan sepatutnya dipikul Marquez.

“Tidak boleh membandingkan juara dunia 10 kali dengan seseorang yang hanya memenangi satu Grand Prix. Marc baru memenangi gelaran dunia ke-10, manakala saya hanya memenangi satu perlumbaan dalam tempoh tiga tahun di MotoGP,” katanya.

Menurut Acosta, matlamatnya ketika ini adalah untuk melihat keserasian dengan anggota pasukan dan membina kerjaya langkah demi langkah. “Saya hanya mahu masuk ke garaj, melihat bagaimana saya serasi dengan semua orang, merasai suasana di pasukan kilang dan membina kerjaya secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata angka kejayaan menjadi ukuran penting dalam kehidupan seorang pelumba dan pencapaian mereka ketika ini menunjukkan jurang yang besar.

“Jika membandingkan 10 gelaran dengan dua, saya malu dengan pencapaian sendiri ketika ini. Kita perlu realistik dan melihat tahap Marc berbanding tahap saya,” katanya.

Acosta menyifatkan Marquez sebagai pelumba paling berpengalaman di grid, yang pernah meraih kemenangan bersama dua pengeluar berbeza serta memenangi banyak gelaran. Katanya, pencapaian itu menjadikan perbandingan antara mereka tidak setara.