Kapal tangki diesel terbalik di Ibiza, seorang maut

MADRID: Pihak berkuasa Sepanyol berusaha menilai dan mengawal kemungkinan pencemaran di perairan Mediterranean selepas kapal tangki Med Emre yang membawa sehingga 7,000 tan diesel terbalik di utara Ibiza pada awal pagi Khamis. Seorang daripada 17 kru kapal itu meninggal dunia selepas dibawa ke hospital, manakala enam lagi mengalami kecederaan ringan.
Kapal berdaftar di Malta itu, yang membawa produk kimia, sedang dalam perjalanan dari pelabuhan Algeciras di selatan ke Barcelona ketika kemalangan berlaku berhampiran Kepulauan Balearic. Perkhidmatan kecemasan Balearic memaklumkan semua kru berjaya diselamatkan. Kecederaan yang dialami termasuk hipotermia.
Firma penjejak data maritim Kpler menganggarkan kapal itu membawa kira-kira 66,000 tong produk bertapis. Sumber kerajaan Sepanyol berkata kapal berkenaan berada dalam keadaan terbalik dengan lunas menghadap ke atas, yang menunjukkan ia belum tenggelam. Kenyataan itu memperbetulkan laporan awal yang menyebut kapal berkenaan sudah tenggelam.
Imej yang disiarkan media Sepanyol menunjukkan bahagian bawah kapal berwarna kelabu kelihatan di atas permukaan laut. Punca kejadian masih belum diketahui. Sebuah bot dan pesawat milik perkhidmatan penyelamat maritim Sepanyol, Salvamento Maritimo, dihantar untuk menilai kemungkinan kesan terhadap alam sekitar.
Perdana Menteri Pedro Sanchez berkata kerajaan “memantau keadaan dengan teliti”. Kapten maritim Valencia, Elena Delgado, berkata tompokan kecil yang terbentuk di sekeliling kapal itu “hilang” pada penghujung hari. Kapal berkenaan juga telah diikat menggunakan kabel pada sebuah kapal perkhidmatan penyelamat maritim Sepanyol.
“Keadaan sudah stabil,” kata Delgado. Beliau berkata pakar akan memeriksa badan kapal dan bahagian yang tenggelam pada pagi Jumaat sebelum keputusan dibuat mengenai operasi menyelamat yang dirancang untuk menunda kapal itu.
Kawasan berkenaan mempunyai kepentingan ekologi dan merangkumi lokasi yang dilindungi dalam rangkaian Natura 2000 Kesatuan Eropah. Sebarang pencemaran boleh menjejaskan pelancongan, perikanan dan rumpai laut Mediterranean, yang menyerap sejumlah besar karbon dioksida penyebab pemanasan iklim.
SEOBirdLife berkata kawasan itu juga menjadi habitat bagi burung petrel Balearic yang terancam kritikal. Badan bukan kerajaan itu memberi amaran bahawa sentuhan dengan bahan api boleh menjejaskan sifat kalis air dan penebat haba pada bulu burung, lalu menyebabkan kehilangan haba dan hipotermia.
Kumpulan pemuliharaan marin Oceana pula berkata waktu kejadian penting bagi spesies migrasi, termasuk penyu, jerung, tuna merah, paus pilot dan ikan lumba-lumba belang. Namun, Emilio Rodriguez Diaz, pakar keselamatan maritim di University of Cadiz, memberitahu radio Cadena SER bahawa kejadian itu tidak setanding dengan bencana tumpahan minyak Prestige pada 2002.
Kapal Prestige terbelah dua dan menumpahkan lebih 60,000 tan bahan api, menghitamkan ribuan kilometer pesisir Atlantik serta menjejaskan Sepanyol, Portugal dan Perancis. Diaz berkata Med Emre ialah kapal moden yang dibina di Turkiye pada 2019, dengan badan kapal berkembar yang berfungsi sebagai “sejenis penampan” untuk menghalang muatannya daripada dilepaskan ke persekitaran.