Singapura belum runding ART dengan AS, terbuka dapatkan tarif lebih rendah

SINGAPURA: Singapura belum memulakan rundingan mengenai Perjanjian Tarif Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS), tetapi terbuka untuk berbincang bagi mendapatkan kadar tarif lebih rendah, kata Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong pada Khamis.
Gan, yang juga Menteri Tenaga, Perdagangan dan Industri (Perdagangan), berkata kedua-dua negara telah mengadakan libat urus secara berkala sejak beberapa tahun lalu, ketika siasatan oleh Washington masih berlangsung. Sesi berkenaan memberi ruang kepada Singapura untuk menjelaskan pendirian, berkongsi pandangan dan mengemukakan hujahnya.
“Bagaimanapun, kami belum memulakan rundingan mengenai perjanjian perdagangan,” katanya pada sidang media.
Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) pada Rabu mengeluarkan laporan mengenai hasil siasatan dan cadangan tindakan terhadap 14 ekonomi, termasuk Singapura dan Malaysia. Siasatan di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 itu berkaitan lebihan kapasiti dan pengeluaran secara struktural dalam sektor pembuatan tertentu.
Mengulas cadangan kadar tarif sehingga 20 peratus, Gan berkata beliau terkejut dengan keputusan itu memandangkan AS ialah rakan dagang penting Singapura dan kedua-dua negara telah lama menjalin hubungan dua hala.
Menurutnya, cadangan tarif baharu itu akan menaikkan kadar tarif efektif ke atas barangan Singapura daripada 7.8 peratus kepada 10.3 peratus. Kenaikan itu boleh menjejaskan eksport Singapura ke AS yang bernilai kira-kira S$9.4 bilion (S$1=RM3.19).
“Kami telah bekerjasama selama bertahun-tahun dan mempunyai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan AS, jadi saya rasa tarif itu mengejutkan kami dan bukan sesuatu yang kami jangkakan daripada rakan dagang utama,” katanya.
Gan berkata Singapura akan terus memperkukuh hubungan dua hala dan berusaha mencari penyelesaian terhadap perbezaan berkaitan tarif serta hubungan perdagangan. Usaha itu, katanya, termasuk mendapatkan kadar tarif yang lebih baik untuk pengeksport Singapura.
Mengenai rundingan, beliau berkata Singapura akan terus mengutamakan kepentingan negara ketika berurusan dengan AS dan rakan dagang lain. Namun, sebarang perjanjian dengan AS akan melibatkan tolak ansur, kompromi dan pengorbanan tertentu, katanya.