JPS ramal sembilan jajahan di Kelantan berisiko banjir

KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan banjir di sembilan jajahan di Kelantan dari 24 hingga 30 Nov susulan amaran hujan berterusan (Waspada) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini.
Menurut Ramalan Awal Banjir Negeri Kelantan yang dikemas kini pada 8 malam ini, jajahan berisiko ialah Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu, Machang dan Kuala Krai. Kawasan berpotensi terjejas merangkumi lokasi hotspot banjir, kawasan rendah serta kawasan berisiko di beberapa lembangan sungai utama.
Lembangan Sungai Golok melibatkan kawasan di Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat, manakala lembangan Sungai Kelantan membabitkan Kota Bharu, Machang dan Kuala Krai. Di Pasir Puteh dan Bachok, kawasan berisiko termasuk lembangan Sungai Semerak, selain Sungai Kelantan di Pasir Puteh serta Sungai Kemasin dan Sungai Gali di Bachok.
Antara sungai yang dikenal pasti ialah Sungai Golok, Sungai Bunut Susu, Sungai Meranti, Sungai Pengkalan Nangka, Sungai Kelantan, Sungai Ketereh, Sungai Semerak, Sungai Kemasin, Sungai Lebir dan Sungai Galas.
JPS memaklumkan pemantauan akan diteruskan dan hebahan amaran banjir dikeluarkan jika hujan signifikan berterusan di lembangan berkenaan. Banjir yang diramalkan juga boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh jangkaan.
Semua agensi pengurusan bencana dan penduduk, khususnya mereka yang berada di kawasan dijangka terjejas, diminta sentiasa berwaspada serta peka terhadap arahan pihak berkuasa. Maklumat dan amaran banjir terkini boleh diperoleh menerusi laman web publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook PublicInfoBanjir.