SPR minta pandangan Peguam Negara mengenai kemungkinan majoriti mudah GPS

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai implikasi undang-undang sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri selepas proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 selesai esok.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata perkara itu masih diteliti AGC bagi memastikan sebarang tindakan atau keputusan mematuhi peraturan pilihan raya yang berkuat kuasa.
Beliau berkata semua proses pilihan raya yang ditetapkan perlu diteruskan berdasarkan peraturan sedia ada. Sebarang pengumuman mengenai perkara itu hanya akan dibuat selepas SPR menerima pengesahan daripada pihak berkuasa berkaitan.
“Saya meminta AGC meneliti perkara ini dan ia masih dalam semakan. Terdapat peraturan berkaitan yang perlu kita patuhi.
“Berdasarkan peraturan sedia ada, kita perlu memastikan semua proses pilihan raya dilaksanakan. Proses itu mesti diteruskan dan sebarang pengumuman akan dibuat selepas itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau persiapan hari penamaan calon di pusat penamaan calon bagi kerusi Samariang, di Dewan Serbaguna Taman Sukma, hari ini.