Operasi dadah Perak: Remaja 14 tahun antara 372 ditahan

Sumber: Sinar Harian

IPOH - Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun antara 372 individu yang ditahan dalam Op Tapis Khas Kontinjen Perak, yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 November lalu. Operasi serentak di seluruh negeri itu dijalankan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) itu memberi tumpuan kepada lokasi yang dikenal pasti sebagai sarang penagihan dadah. Kawasan berkenaan termasuk skim Felda, Felcra, ladang swasta, projek perumahan rakyat termiskin (PPRT), rumah pangsa dan jeti nelayan.

Daripada jumlah yang ditahan, 356 ialah lelaki manakala 16 lagi wanita berusia antara 14 hingga 70 tahun. Tangkapan turut membabitkan 33 warga asing dari Thailand, Indonesia, Myanmar dan Vietnam, katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Alwi berkata, siasatan mendapati 66 individu ditahan kerana disyaki mengedar dadah, manakala 206 lagi disiasat atas kesalahan memiliki dadah. Seramai 100 individu pula disiasat sebagai penagih di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tiga individu yang dikategorikan sebagai orang dikehendaki turut ditahan. Polis juga mengenal pasti dua penagih dadah tegar yang akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

Dalam operasi itu, polis merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM49,648.30. Rampasan termasuk 288.61 gram ganja, 251.95 gram syabu, 212.98 gram heroin dan 17.74 gram ketamin.

Rampasan lain terdiri daripada 7.46 gram pil Erimin 5, 2.3 kilogram daun ketum, 126.10 liter cecair ketum dan 0.18 liter kodien. Sebuah kenderaan serta wang tunai dengan jumlah keseluruhan bernilai RM4,700 turut disita.

Operasi berkenaan disertai 248 pegawai dan anggota polis, termasuk 25 pegawai kanan serta 223 pegawai rendah. Mereka terdiri daripada anggota JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), balai polis dan Pasukan Gerakan Marin.