Remaja mengaku buli siber dilepaskan dengan amaran

TAWAU: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang mengaku memuat naik gambar seorang remaja perempuan bersama kapsyen berunsur buli dan ugutan di media sosial dilepaskan dengan amaran oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas memohon maaf secara peribadi kepada mangsa.
Majistret Don Stiwin Malanjum membuat keputusan itu mengikut Seksyen 91(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016), selepas mengambil kira syor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). JKM berpandangan tindakan memberi amaran dan melepaskan remaja berkenaan sesuai demi kepentingan terbaiknya, selain dapat memberi pengajaran, kesedaran dan peringatan supaya kesalahan sama tidak berulang.
Mahkamah turut mengambil kira pengakuan remaja itu bahawa dia menyesali perbuatannya dan berjanji tidak mengulangi kesalahan sama. Anak sulung daripada lima beradik itu juga menyatakan hasrat untuk memberi tumpuan kepada pelajaran. Wang jaminan sebanyak RM500 diperintahkan supaya dikembalikan.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa memuat naik gambar mangsa, yang berusia 13 tahun, tanpa mengetahui penerbitan, pengedaran atau penyediaan maklumat identiti itu berkemungkinan menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan terhadap mangsa. Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Tawau pada 12 tengah hari, 17 April lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 507E Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa menerima mesej WhatsApp daripada rakannya yang menghantar tangkap layar gambar anaknya di Instagram, berserta beberapa kapsyen berunsur tuduhan buli dan ugutan. Siasatan mendapati remaja itu memuat naik gambar berkenaan selepas membaca perbualan dalam kumpulan WhatsApp yang mendakwa adik sepupu seorang rakannya dibuli mangsa dan seorang lagi individu.
Remaja itu mengakui terikut emosi sebelum mendapatkan gambar mangsa dan memuat naiknya ke Instagram Story melalui akaunnya sendiri, dengan kapsyen berunsur ugutan. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Jeffery Kadison, manakala remaja berkenaan tidak diwakili peguam.