Bas Rapid KL terbakar di SUKE ketika dalam perjalanan ke bengkel

KUALA LUMPUR: Sebuah bas Rapid KL terbakar di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), berhampiran Bukit Segar, kira-kira jam 2 petang hari ini ketika dalam perjalanan untuk penyelenggaraan.
Rapid KL berkata bas yang dikendalikan Handal Indah Sdn Bhd di bawah Rapid Bus Sdn Bhd itu tidak beroperasi ketika kejadian. Maklumat awal menunjukkan bas berkenaan dipandu seorang juruteknik dari Depoh Bas Kepong menuju ke sebuah bengkel di Beranang.
Menurut Rapid KL, bas itu dipercayai mengalami kerosakan apabila tiba di kawasan berhampiran Bukit Segar sebelum terbakar. Jabatan Bomba dan Penyelamat tiba kira-kira 15 minit kemudian untuk memadamkan api.
Bas itu ditunda ke sebuah depoh di Klang pada jam 3.28 petang selepas anggota bomba mengesahkan kawasan berkenaan selamat dan tidak lagi mendatangkan bahaya.
Rapid KL mengesahkan juruteknik yang memandu bas itu tidak mengalami kecederaan. Syarikat itu berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan bagi menentukan punca kejadian.
Selain itu, pemeriksaan dalaman akan dijalankan untuk menilai keadaan bas berkenaan serta perkara berkaitan penyelenggaraannya.